BOGOR: Seorang gadis berusia 15 tahun dari Cibungbulang, Bogor, disahkan mengalami perubahan jenis kelamin daripada perempuan kepada lelaki selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Menurut Utusan Malaysia ibunya memberitahu, remaja tersebut dilahirkan sebagai perempuan dan dibesarkan seperti anak perempuan, termasuk mengenakan pakaian seperti skirt serta tudung semasa di sekolah menengah.
Namun, pada usia 13 tahun, beliau mula bimbang apabila anaknya tidak mengalami haid seperti rakan sebaya.
“Sejak darjah dua sekolah menengah, saya risau sebab dia belum datang haid. Saya fikir mungkin lambat seperti kakaknya, tapi rupanya bukan,” kata beliau kepada media tempatan.
Kebimbangan memuncak apabila beliau menyedari perubahan fizikal anaknya yang menunjukkan ciri-ciri kelamin lelaki.
Remaja tersebut kemudian dibawa ke pusat kesihatan masyarakat (puskesmas) pada Oktober lalu, di mana doktor mengesahkan beliau sebenarnya seorang lelaki berdasarkan penemuan testis pada tubuhnya.
Pemeriksaan lanjut di beberapa hospital, termasuk Hospital Fatmawati di Jakarta Selatan, mendapati beliau mengalami kondisi perubatan yang dikenali sebagai genitalia ambigu atau gangguan perkembangan seksual (DSD).
Menurut Pakar Urologi, Dr. Regi Septian, keadaan remaja terbabit melibatkan hipospadia tahap berat, di mana lubang saluran kencing berada di lokasi tidak normal, selain bentuk penis kecil yang menyerupai klitoris serta skrotum yang tidak berisi testis.
“Keadaan ini sering menimbulkan kekeliruan kepada ibu bapa, yang tidak dapat menentukan sama ada anak mereka lelaki atau perempuan ketika lahir,” jelas Dr. Regi.
Doktor mencadangkan gadis itu menjalani beberapa siri pembedahan, termasuk penurunan testis dan pembaikan saluran kencing.
Namun, kos rawatan yang tinggi menjadi halangan di mana pemeriksaan kromosom sahaja memerlukan perbelanjaan sebanyak 8.5 juta rupiah (RM2,500), manakala pembedahan secara keseluruhan perlu dilakukan secara berperingkat.
Keluarga remaja tersebut berharap agar proses rawatan dapat dipercepatkan walaupun kosnya besar.
“Kalau guna insurans kesihatan Indonesia, kena tunggu lama, sampai dua bulan. Kami mahu semuanya cepat selesai,” ujar ibunya.


































