Masidi (tengah) bersama Suresh (empat dari kanan) dan rombongannya.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun mencadangkan agar Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Sabah dan Labuan bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) mengambil pendekatan lebih strategik dalam menyesuaikan pemasaran pelancongan dengan keadaan semasa.
Beliau berkata, beberapa hotel di sekitar ibu negeri kini terjejas secara langsung, dengan kadar penginapan menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, situasi itu dipercayai berpunca daripada ketidaktentuan global termasuk konflik di Timur Tengah, selain perubahan corak perjalanan pelancong yang kini cenderung memilih destinasi baharu seperti Vietnam.
Perkara itu turut dimaklumkan oleh Pengerusi MAH Sabah dan Labuan, Suresh Ramasamy ketika mengadakan kunjungan hormat bersama rombongannya di pejabat beliau.
Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah, menekankan keperluan memperkukuh promosi pelancongan domestik, khususnya dengan menyasarkan pasaran berpotensi tinggi di kawasan seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Beliau berkata, terdapat potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan berpendapatan tinggi, yang majoritinya tertumpu di kawasan tersebut, bagi merancakkan semula industri pelancongan negeri.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Sabah perlu lebih proaktif dalam membangunkan produk pelancongan baharu dan unik bagi kekal berdaya saing, terutama dalam menghadapi kemunculan destinasi alternatif di rantau ini.
“Dengan strategi yang tepat dan penawaran produk yang segar, Sabah masih mempunyai kelebihan tersendiri untuk menarik pelancong, sama ada dari dalam mahupun luar negara,” katanya.
































