Pengerusi Pasukan Petugas, Mike Kelly menunjukkan gambar rajah lokasi insiden cubaan membunuh Donald Trump di Butler, Pennsylvania.
WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendakwa seorang lelaki warga Afghanistan yang disyaki ada kaitan dengan rancangan Iran untuk membunuh bakal Presiden AS, Donald Trump dan seorang wartawan pembangkang dwi kerakyatan Iran-Amerika yang terkenal.
Menurut Utusan Malaysia, plot yang berjaya ditumpaskan itu, disyaki diarahkan oleh Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) bagi membalas dendam kematian Jeneral Iran, Qassem Soleimani yang terbunuh pada 2020.
Menurut Jabatan Keadilan AS, Farhad Shakeri, 51, yang dipercayai sedang berada di Iran ditugaskan oleh IRGC untuk menyediakan rancangan membunuh Trump.
Dalam aduan jenayah yang difailkan di mahkamah Manhattan, pendakwa raya mendakwa bahawa seorang pegawai IRCG mengarahkan Farhad untuk merangka rancangan mengawasi dan membunuh Trump pada September lalu.
“Jabatan Kehakiman telah mendakwa aset rejim Iran yang ditugaskan untuk mengarahkan rangkaian sekutu jenayah meneruskan rancangan pembunuhan terhadap sasarannya, termasuk Trump,” kata Peguam Negara AS, Merrick Garland dalam satu kenyataan.
Jabatan kehakiman juga mendakwa dua lagi individu disyaki direkrut untuk membunuh seorang wartawan AS yang merupakan pengkritik lantang Iran.
Wanita itu tidak dikenal pasti dalam dokumen mahkamah, tetapi dipercayai sebagai wartawan penentang, Masih Alinejad.
Dua individu tersebut dikenal pasti sebagai Carlisle Rivera, juga dikenali sebagai Pop, 49, dari Brooklyn dan Jonathon Loadholt, 36, dari Staten Island.
Kedua-duanya hadir di mahkamah di Daerah Selatan New York kelmarin dan sedang ditahan sementara menunggu perbicaraan.
“Tuduhan yang diumumkan hari ini mendedahkan percubaan berani yang berterusan oleh Iran untuk menyasarkan warga AS, termasuk Presiden yang dipilih , pemimpin pemerintah lain dan pembangkang yang mengkritik rejim di Teheran,” kata Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Christopher Wray.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, tuduhan palsu serupa tentang cubaan membunuh presiden AS telah dibuat pada masa lalu yang dinafikan Teheran.
Dalam satu kenyataan, Esmaeil menegaskan tuntutan sedemikian berisiko merumitkan lagi isu antara AS dan Iran.
Trump berdepan dua percubaan membunuh berasingan tahun ini, termasuk satu insiden tembakan di sebuah rapat umum apabila peluru dilepaskan terkena telinga Trump sebelum mengorbankan seorang anggota bomba pada Julai lalu di Pennsylvania.
Kemudian, pada bulan September, seorang lelaki ditangkap kerana mengacukan senapang ke arah Trump yang sedang bermain golf di padang golfnya di West Palm Beach.


































