Steve Mositun
KOTA KINABALU: Video tular mengenai jawapan Timbalan Perdana Menteri yang menyebut ‘tukar kerajaan’ di Sabah dalam sesi perbahasan di Parlimen jelas menunjukkan Dewan Rakyat kini adalah medan berpolitik.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Limbahau, Steve Johnny Mositun, berkata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu lalu, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kinabatangan tentang mekanisme Kerajaan Pusat mengurangkan migrasi belia Sabah ke luar negeri, secara berseloroh mengatakan langkah pertama ke arah penyelesaian isu itu adalah dengan ‘tukar kerajaan’.
“Itu bukan jawapan yang patut didengar daripada seorang yang bergelar Timbalan Perdana Menteri, apatah lagi di Dewan Rakyat yang penuh dengan kemuliaan,” kata Steve.
“Jawapan beliau jelas menunjukkan ketidaksabaran Barisan Nasional (BN) untuk masuk gelanggang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah,” tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa dasar dan tindakan Zahid melalui kementeriannya dilihat hanya berani dilaksanakan di Sabah tetapi tidak di Sarawak.
“Jelas juga bahawa suara Zahid terhadap Sarawak tidak sekuat suaranya terhadap Sabah.”
Natijahnya, beberapa dasar kerajaan khususnya melalui kementeriannya (KKDW) yang ditentang oleh Sabah dan Sarawak, nyata tidak dilaksanakan di Sarawak tetapi tetap diteruskan di Sabah.
“Contohnya, pelaksanaan JKDM/JPKK Persekutuan yang tidak dilaksanakan di Sarawak setelah mendapat tentangan dari Kerajaan Negeri tetapi diteruskan di Sabah.
“Mengapa? Kerana Sarawak mempunyai suara yang kuat; kesatuan pimpinan dan rakyat Sarawak menjadikan suara pemimpin mereka lebih didengar dan dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Steve, yang juga Exco Penerangan Pemuda GRS, turut mempersoalkan sama ada rakyat Sabah akan terus menjadi ‘makmal’ politik bagi parti nasional tersebut.
“Adakah Sabah perlu terus dijadikan ‘Makmal Politik’? Bukankah Sabah turut menyumbang kepada kemajuan negara Malaysia? Harus diingat bahawa Sabah adalah antara penyumbang pendapatan Malaysia dalam pelbagai aspek.
“Dengan peningkatan pengundi berusia 18 tahun, adakah kita tidak tahu menilai siapa yang lebih layak menerajui Sabah melalui kepimpinan parti politik tempatan seperti di Sarawak?”
Justeru, katanya, ‘Bargaining Power’ kini terletak pada setiap rakyat Sabah dalam PRN17 yang akan datang.
Beliau turut menyeru semua anak muda untuk berfikir lebih mendalam dan bijak menilai kenyataan tersebut serta menterjemahkannya melalui undi mereka pada PRN-17 nanti.
“Cukuplah kita terus ditabur janji. Biarlah kita jaga negeri kita sendiri tanpa bergantung kepada parti nasional,” katanya.


































