PARIS: Tujuh keluarga di Perancis memfailkan saman terhadap gergasi media sosial, TikTok, menuduh platform itu mendedahkan anak remaja mereka kepada kandungan berbahaya sehingga dua daripadanya membunuh diri pada usia 15 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, saman itu mendakwa, algoritma TikTok mendedahkan tujuh remaja tersebut kepada video yang mempromosikan bunuh diri, mencederakan diri dan gangguan pemakanan, menurut peguam, Laure Boutron-Marmion.
Keluarga tersebut mengambil tindakan undang-undang secara bersama di mahkamah Creteil.
Boutron-Marmion berkata, ini adalah kes berkumpulan yang pertama di Eropah.
“Ibu bapa mahu tanggungjawab undang-undang TikTok diiktiraf di mahkamah.
“Ini adalah syarikat komersial yang menawarkan produk kepada pengguna, apatah lagi remaja. Oleh itu, mereka harus bertanggungjawab atas kekurangan produk tersebut,” katanya.
TikTok, seperti platform media sosial lain, sudah lama mendapat perhatian mengenai caranya memantau kandungan dalam aplikasi tersebut.
Seperti Meta, TikTok juga berdepan ratusan tindakan undang-undang di Amerika Syarikat (AS) yang didakwa mempengaruhi jutaan kanak-kanak ketagih kepada platform itu, sehingga merosakkan kesihatan mental mereka.
































