OSLO: Sebuah kajian firma teknologi dari Norway, Strise, mendapati ChatGPT, chatbot popular keluaran OpenAI, boleh digunakan untuk memberi nasihat terperinci mengenai cara melakukan jenayah.
Ini termasuk, melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan penyeludupan senjata ke negara yang dikenakan sekatan.
Menurut Utusan Malaysia, penemuan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan langkah keselamatan yang diambil untuk mencegah penyalahgunaan teknologi tersebut bagi aktiviti haram.
Menurut Strise, beberapa siri eksperimen mendapati ChatGPT boleh memberi nasihat mengenai jenayah tertentu jika soalan dikemukakan dengan cara tidak langsung atau melalui teknik yang mengaburi sistem keselamatan chatbot tersebut.
Sebagai contoh, eksperimen bulan lalu menunjukkan ChatGPT mampu memberikan panduan mengenai cara mengalirkan wang secara haram melintasi sempadan.
Manakala dalam eksperimen lain, chatbot tersebut menyenaraikan cara untuk syarikat mengelak sekatan antarabangsa, termasuk yang berkaitan dengan Russia.
Strise, yang menawarkan perisian membantu bank dan syarikat mengenalpasti aktiviti pengubahan wang haram serta individu yang disenaraihitamkan, bimbang dengan pihak berniat jahat menggunakan teknologi AI generatif untuk merancang jenayah mereka.
Seorang jurucakap OpenAI memberitahu CNN, syarikat tersebut sentiasa berusaha mempertingkatkan keselamatan ChatGPT untuk menghalang cubaan menipu sistem tanpa menjejaskan kualiti bantuan yang diberikan.
“Model terkini kami adalah yang paling maju dan selamat setakat ini, dengan ketahanan lebih baik terhadap cubaan menghasilkan kandungan tidak selamat,” tambahnya.
Walaupun maklumat berkaitan jenayah telah lama boleh diakses di internet, AI generatif seperti ChatGPT mempercepat proses mendapatkan, memahami dan meringkaskan pelbagai maklumat secara mendalam.
Agensi penguatkuasaan Eropah, Europol, dalam laporan tahun lalu, menyatakan AI seperti ChatGPT memudahkan aktor jahat memahami dan seterusnya melaksanakan pelbagai jenis jenayah.
Biarpun OpenAI telah mengambil langkah keselamatan, seperti menghalang dan memadamkan soalan mencurigakan serta memberi amaran mengenai pelanggaran dasar penggunaan, Europol menegaskan terdapat banyak kaedah untuk melepasi sekatan yang dipasang.
































