Saifuddin Nasution
KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Rakyat bakal membahas sekali gus memutuskan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan dalam mesyuarat Parlimen yang akan bermula minggu hadapan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perkara itu juga akan melibatkan pemberian kewarganegaraan secara automatik bagi anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara.
Selain itu, katanya, kementerian juga akan meminda beberapa peruntukan lain di dalam Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan yang dikenali sebagai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024.
Bagaimanapun, beliau akan meringkaskan beberapa fakta penting yang membawa kepada penggubalan RUU berkenaan kewarganegaraan supaya orang ramai dapat mengikuti perbahasan di Parlimen dengan lebih menyeluruh.
“Cetusan pindaan ini bermula dengan kejanggalan di dalam kes permohonan warganegara Malaysia untuk anaknya yang dilahirkan di luar negara.
“Setelah itu, saya bersama pasukan KDN berbincang meminda beberapa peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan kerana setelah beberapa dekad isu kewarganeraan ini juga berubah secara dinamik dan kompleks.
“Saya memberi komitmen cadangan pindaan ini dikaji dengan teliti dan cermat supaya keluhuran perlembagaan terjaga dan keselamatan di dalam negeri tidak dikompromi,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Pada Februari tahun lalu, kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.
GANTI PERKATAAN ‘BAPA’ KEPADA ‘IBU BAPA’
Pada Julai tahun lalu, Majlis Peguam menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan mengganti perkataan ‘bapa’ kepada perkataan ‘ibu bapa’ dahulu bagi membolehkan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara mendapat kerakyatan negara ini.
Pindaan itu membabitkan perkataan ‘bapa’ dalam Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Ini berikutan kebimbangan Majlis Peguam akan cadangan kerajaan meminda beberapa perkara lain melibatkan kewarganegaraan yang tidak sepatutnya dibuat pada masa ini, kerana berisiko menyukarkan lagi proses pemberian taraf kewarganegaraan tersebut.
Karen Cheah Yee Lynn merupakan Presiden Majlis Peguam ketika itu berkata, pihaknya hanya mahu pindaan itu diluluskan terlebih dahulu pada sidang Dewan Rakyat, manakala isu berlainan berkaitan kewarganegaraan dikategori sebagai backburner atau perbincangan lanjut.
“Tuntutan kami mudah sahaja iaitu hanya ada satu pindaan pada perkataan ‘bapa’ untuk diganti dengan perkataan ‘ibu bapa’ dalam perlembagaan. Ia juga selari dengan apa yang dijanji sebelum pilihan raya umum lalu.
“Bagaimanapun, kini kerajaan nampaknya ‘menyuntik’ segala jenis syarat seperti garis masa, pendaftaran dan lain-lain jenis pindaan kewarganegaraan yang tidak perlu dan merumitkan isu utama. Jadi, ini yang akan menyebabkan kelewatan tuntutan kami,” katanya.
UJI JATI DIRI
Peguam senior, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, anugerah kewarganegaraan kepada anak-anak wanita Malaysia hasil perkahwinan dengan warga asing yang dilahirkan di luar negara mesti diuji jati diri dan tahap pengetahuan mengenai negara ini.
Katanya, fasa ujian itu penting supaya kerajaan tidak tersilap menganugerahkan kewarganegaraan sedangkan anak tersebut menghabiskan masa hidupnya di negara luar tanpa pendedahan nilai kenegaraan.
Menurutnya, meskipun kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang, namun anak-anak yang lahir di luar negara perlu diuji apabila mencapai umur sesuai.
Beliau mencadang supaya kerajaan menggubal undang-undang di bawah Akta Parlimen bagi membolehkan ujian itu dijalankan sebagai syarat dan pelengkap kerakyatan kepada anak-anak terbabit mungkin sekurang-kurangnya 12 tahun.
LAPAN CADANGAN PINDAAN
Sejumlah lapan cadangan pindaan pada keseluruhan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan dipersembah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR).
Di dalam kertas cadangan 10 halaman yang dilihat Utusan Malaysia, cadangan pindaan lain dikemuka antaranya berkaitan pemberitahuan kelahiran dalam tempoh satu tahun dari tarikh lahir anak.
Cadangan lain antaranya memadam perkataan pemastautin tetap dalam Jadual Kedua Bahagian II (Perkara 14(1)(b)); meminda ‘tarikh perkahwinan’ dengan ‘tarikh pendaftaran’ dan memasukkan keperluan asas untuk kemahiran berbahasa Melayu dalam Perkara 15(1) Perlembagaan.
PRINSIP KEADILAN
Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini menggesa kerajaan kembali berunding dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan pemberian kewarganegaraan.
Katanya, salah satu daripada lapan cadangan pindaan perlembagaan dilihat bertentangan dengan prinsip keadilan menyaksikan kekhuatiran sehingga memudaratkan golongan rentan terutama kanak-kanak ‘terdampar’ atau terbuang tanpa dokumentasi.
Bagaimanapun, KDN sudah memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan untuk anak-anak terdampar berdasarkan pandangan diterima melalui pertemuan intensif dengan ahli parlimen, wakil parti politik dan juga pakar perundangan serta wakil-wakil agensi negeri.
BACAAN KALI KEDUA
Pada Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan sudah dibentang untuk bacaan kali kedua tanpa dibahas sebelum mesyuarat Dewan Rakyat ditangguhkan.
Bagaimanapun, pembangkang menganggap keputusan kerajaan menangguhkan perbahasan RUU itu kerana tidak yakin boleh mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Hal itu walaupun Saifuddin beralasan yang penangguhan tersebut bagi memberi ruang lebih luas kepada ahli Parlimen untuk membahaskannya pada masa akan datang.
Pada Julai lalu, perbahasan dan undian mengenai cadangan pindaan Perlembagaan mengenai kewarganegaraan di Dewan Rakyat tangguh sekali lagi.
Mesyuarat ketiga Parlimen ke-15 2024 bakal membuka tirainya selama 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentang Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.


































