Kamala Harris dan Donald Trump.
NEW YORK: Calon Demokrat, Kamala Harris mendahului tipis berbanding Donald Trump dari Republikan menerusi tinjauan nasional terbaharu perlumbaan merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) sebelum pilihan raya pada 5 November ini.
Menurut Utusan Malaysia, tinjauan yang dijalankan oleh Siena College dan The New York Times mendapati Harris mendahului sebanyak 49 peratus hingga 46 peratus.
Pengundi berdaftar lebih memilih Harris kerana mewakili perubahan dan mengambil berat tentang mereka, tetapi memberi kelebihan kepada Trump tentang siapa pemimpin yang lebih kuat.
Saingan itu terikat pada 47 peratus dalam tinjauan pendapat pertengahan September lalu, sejurus kedua-duanya bertelagah dalam perdebatan Presiden.
Keputusan keseluruhan sebahagian besarnya selari dengan agregat pengundian nasional yang dikumpul oleh RealClearPolitics.com, yang menjadikan Harris di hadapan dengan dua mata peratusan.
Di tujuh negeri utama yang dilihat berkemungkinan menentukan keputusan pilihan raya, undian turut dijangka sengit.
Harris mengakui pemilihan yang sengit itu membuatkan beliau tidak lena tidur.
“Saya benar-benar hilang masa tidur. Ini adalah pilihan raya mengenai kekuatan lawan kelemahan.
“Kelemahan seperti yang diunjurkan oleh seseorang yang meletakkan dirinya di hadapan rakyat AS tetapi tidak mempunyai kekuatan untuk membela keperluan, impian dan keinginan mereka, ” kata Harris dalam temu bual radio bersama Howard Stern.
Tinjauan terbaharu menunjukkan Harris mula mengejar selepas sembilan peratus daripada Republikan berkata, mereka merancang untuk menyokongnya, meningkat daripada lima peratus bulan lalu.
Sementara itu, Trump mengekalkan postur agresifnya, menyerang Harris sebagai perisik dan mendakwa beliau gagal bertindak balas dengan baik terhadap mangsa bencana Taufan Helene.
Calon Republikan berusia 78 tahun itu menegaskan dalam podcast pempengaruh konservatif, Ben Shapiro beliau mempunyai stamina untuk menamatkan kempen dengan kuat.
“Saya telah bekerja kira-kira 28 hari berturut-turut. Saya mempunyai kira-kira 29 hari lagi sebelum pilihan raya dan saya tidak mengambil sebarang hari cuti,” katanya.


































