Keir Starmer
LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer tidak akan menerima hadiah berbentuk pakaian lagi selepas kritikan meluas dari media mengenai sumbangan bernilai ribuan pound yang diterimanya.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber dari pejabatnya, Downing Street semalam memaklumkan, selain Starmer, Timbalan Perdana Menteri, Angela Rayner dan Menteri Kewangan, Rachel Reeves juga akan menolak sumbangan untuk pakaian.
Starmer yang mengambil alih jawatan pada Julai lalu, dikecam selepas dilaporkan menerima sumbangan daripada seorang penderma kaya Parti Buruh yang membayar untuk pakaian kerja dan cermin mata beliau termasuk busana mewah serta perkhidmatan membeli-belah untuk isterinya, Victoria.
Awal minggu ini, Sky News melaporkan, beliau mengisytiharkan lebih 100,000 pound (RM559,974) dalam bentuk hadiah, faedah dan penginapan sejak Disember 2019, jumlah tertinggi bagi mana-mana anggota Parlimen lain.
Ia dibuat selepas Starmer dilapor melanggar peraturan Parlimen kerana gagal mengisytiharkan pembelian pakaian mewah untuk Victoria oleh seorang penderma Parti Buruh.
Menurut The Sunday Times ketika itu, Starmer disiasat selepas gagal memberitahu bahawa beliau dan isteri menerima sumbangan daripada ahli perniagaan, Waheed Alli yang menanggung kos pembelian pakaian peribadi dan tata rias untuk isterinya.
Kepentingan kewangan berdaftar Perdana Menteri yang disenaraikan di laman web Parlimen menunjukkan beliau menerima beberapa sumbangan daripada Waheed, termasuk beberapa pasang cermin mata, pakaian kerja dan penginapan.
The Sunday Times melaporkan, derma itu diisytiharkan tetapi pakaian yang diberikan kepada isterinya tidak diisytiharkan.


































