Hajiji (tiga dari kanan) menyerahkan kunci rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada Irwan Bakir, 46, di Kampung Guruh-Guruh, Sipitang.
SIPITANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan pembinaan 40 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun depan, berbanding 20 rumah setahun sebelum ini.
Katanya, secara keseluruhan kira-kira 3,000 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina pada tahun depan bagi membolehkan lebih ramai golongan miskin tegar belum memiliki rumah untuk diberikan bantuan itu.
“Sebelum ini kita beri setiap kawasan DUN sebanyak 20 Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar, tapi pada tahun depan kita akan tambah daripada 20 kepada 40 buah rumah.
“Ini kerana kita tahu ramai lagi yang tiada rumah dan perlu kita bela. Kita akan usahakan 3,000 rumah tahun depan untuk mereka yang dalam kategori miskin tegar,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin, di Dataran QSS, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, inisiatif itu bersama banyak lagi inisiatif lain termasuk berkaitan pembangunan modal insan hanya berlaku dalam Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH) Plus.
Jelasnya, pelaksanaan inisiatif untuk manfaat rakyat itu sejajar dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri pimpinannya dalam membela nasib rakyat dan membawa pembangunan di negeri ini.
Katanya, Kerajaan pimpinan pembangkang sebelum ini tidak melaksanakan sebarang inisiatif yang menjurus kepada membela nasib rakyat kerana lebih menumpukan kepada mencari kesalahan kerajaan dan pemimpin terdahulu.
































