Ribut kuat berserta hujan lebat dijangka bergerak ke arah barat di sepanjang kawasan pantai Guangdong dan pulau Hainan, sehingga esok.
HONG KONG: Seluruh wilayah selatan China bersiap sedia menghadapi taufan Yagi, yang dijangka menjadi ribut paling kuat melanda negara dalam hampir sedekad.
Menurut Utusan Malaysia, Pejabat Meteorologi China hari ini berkata, Yagi dijangka menjadi taufan paling kuat dan berada sekitar 610 kilometer di bandar Zhanjiang, wilayah Guangdong.
Ribut kuat itu dijangka bergerak ke arah barat pada kelajuan 10 hingga 15 kilometer sejam, dengan hujan lebat ke kawasan pantai selatan Guangdong dan pulau Hainan.
Ia dijangka mendarat di sepanjang pantai dari Qionghai, Hainan ke Dianbai, Guangdong dari petang hingga malam esok.
Susulan itu, perkhidmatan kereta api dan bot di Hainan dihentikan mulai pagi ini, sementara banyak sekolah di seluruh selatan China ditutup termasuk pusat kewangan Hong Kong dan pusat perjudian Macao.
Sementara itu, Hong Kong memaklukan akan mempertimbang untuk mengeluarkan isyarat taufan ketiga tertinggi hari ini, yang akan menyebabkan penutupan banyak perniagaan dan mengurangkan pengangkutan di wilayah pentadbiran khas itu.
Semua penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang Haikou di Hainan akan digantung dari hari ini hingga tengah malam Jumaat, menurut pihak berkuasa tempatan, yang turut menutup pantai dan tarikan pelancong di kawasan pesisir.
Taufan kuat seperti Yagi di Hainan adalah jarang berlaku kerana kebanyakan taufan yang melanda pulau bebas cukai itu diklasifikasikan sebagai lemah.
Dari tahun 1949 hingga 2023, sebanyak 106 taufan melanda Hainan tetapi hanya 9 daripadanya yang diklasifikasikan sebagai super taufan.
Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban di Filipina awal minggu ini akibat taufan Yagi.


































