KUALA LUMPUR: Seorang lelaki cedera akibat ditetak selepas perselisihan faham berhubung halangan parkir di kawasan perumahan di Kepong di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, sebuah kereta Perodua Myvi milik suspek dikatakan telah menghalang kereta Perodua Alza milik ibu saudara mangsa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pemilik kenderaan Perodua Alza itu telah membunyikan hon, namun tiada respons daripada pemandu Perodua Myvi iaitu suspek.
Kata beliau, suspek kemudiannya datang kira-kira setengah jam kemudian.
“Berlaku pertengkaran mulut antara anak saudara pemilik Perodua Alza itu sebelum suspek bertindak menumbuk mukanya dan mengambil sebilah pisau dari dalam kereta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 27 tahun bertindak menetak kepala mangsa menggunakan pisau sepanjang 32 sentimeter.
“Mangsa iaitu lelaki berusia 24 tahun telah dikejarkan ke Hospital Selayang dan menerima 35 jahitan. Keadaannya dilaporkan stabil,” ujarnya.
Tambah beliau, suspek kemudian ditahan polis di lokasi kejadian kira-kira pukul 6.45 petang.
Katanya lagi, polis merampas pisau di lokasi.
“Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit kes dadah kini direman enam hari sehingga 10 September untuk siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video di laman media sosial X berhubung kejadian tersebut.


































