KOTA BHARU: Seorang buruh dipenjara tiga tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan menggunakan kekerasan terhadap anggota polis semasa melakukan tangkapan terhadapnya di Kampung Kijang, Badang di sini pada minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Ahmad Tarmizi Ishak, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid dalam satu prosiding tertutup di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini hari ini.
Lelaki itu dimasukkan ke HRPZ II apabila cedera pada bahagian paha kirinya selepas ditembak oleh anggota polis kerana bertindak agresif semasa tangkapan terhadapnya dijalankan.
Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Tarmizi didakwa mencederakan kedua-dua lengan seorang anggota polis berusia 31 tahun menggunakan sebilah gunting pemotong pokok yang dilerai untuk dijadikan sebagai senjata.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, atau mana-mana daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu anggota Balai Polis Badang semasa menjalankan kewajipannya.
Ahmad Tarmizi dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Kampung Kijang, Badang, Jalan Kuala Besar di sini kira-kira pukul 1 pagi pada 31 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd. Bakri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nur Akmal mencadangkan hukuman berat dikenakan kerana tertuduh menggunakan senjata terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
“Hukuman yang berat merupakan satu mesej jelas kepada masyarakat untuk menghormati penguat kuasa yang menjalankan tugas dalam mencegah jenayah,” ujarnya.
Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman menasihati tertuduh agar menghormati tugas penjawat awam dan tindakannya itu merisikokan keselamatan anggota polis yang terlibat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun untuk pertuduhan pertama dan satu sebatan manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan satu tahun.
Hukuman bagi kedua-dua pertuduhan diperintahkan berjalan serentak bermula tarikh sabitan iaitu hari ini.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, seorang anggota polis cedera setelah diserang menggunakan gunting pokok oleh lelaki dalam kejadian di Kampung Kijang, Badang, di sini pagi tadi.
Kejadian pukul 1 pagi itu berlaku semasa mangsa bersama sepasukan anggota dari Balai Polis Badang mahu melakukan tangkapan ke atas suspek berusia 30-an berkait kes jenayah.
Pemangku Ketua Polis negeri Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, semasa tangkapan dilakukan suspek telah bertindak menyerang pihak anggota menggunakan dua bilah gunting pokok.


































