JOHOR BAHRU: Seorang wanita yang mendakwa dirinya diculik oleh seorang lelaki, pada Khamis lalu rupa-rupanya sedang berseronok bermalam dengan rakan lelaki di Rompin, Pahang.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, wanita berusia 24 tahun itu ditemukan dalam keadaan selamat kira-kira pukul 2 petang di Tanjung Gemok, Rompin.
Katanya, laporan mengenai wanita berusia 24 tahun yang disyaki dilarikan lelaki tidak dikenali diterima pada pukul 5.23 petang, Khamis lalu.
“Gerakan mencari mangsa dijalankan membabitkan pelbagai elemen dan hasil maklumat orang awam, wanita berkenaan telah ditemukan dalam keadaan selamat di kawasan Rompin.
“Siasatan mendapati mangsa telah memberikan maklumat palsu kepada ahli keluarganya dengan menyatakan diculik kerana mahu bermalam dengan kawan-kawan di kawasan mangsa ditemukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kelmarin tular satu hantaran di media sosial oleh seorang wanita yang mendakwa dirinya telah diculik oleh tiga orang lelaki yang menaiki Perodua Myvi warna hitam kira-kira pukul 3 petang.
Katanya, ketika dia dilarikan menuju ke Kuantan, dia mendakwa hampir diraba dan dirogol namun sempat melarikan diri ke tempat yang selamat untuk menyorok daripada dikesan tiga suspek itu.
Menjadi lebih dramatik, wanita itu mendakwa telefon bimbitnya yang rosak tidak boleh membuat panggilan keluar dan hampir kehabisan bateri meminta warganet membuat laporan polis kerana dia dalam keadaan ketakutan dan trauma setelah diculik.
Wanita itu turut menghantar mesej yang hampir serupa kepada ibu mertuanya yang berusia 60 tahun sebelum warga emas itu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Endau, Khamis lalu.
Menurut Abdul Razak, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati wanita terbabit positif dadah jenis methamphetamine.
Tambahnya, dua lelaki warga tempatan berusia lingkungan 26 dan 24 tahun yang bersama wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan permohonan reman kepada ketiga-tiga tangkapan dibenarkan selama tiga hari sehingga Isnin.
“Polis meminta orang ramai agar tidak memberi maklumat palsu kepada penjawat awam kerana merupakan satu kesalahan yang boleh disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
































