SAN JOSE: Platform media sosial milik usahawan Elon Musk, X, menyaman sekumpulan syarikat termasuk pengeluar barangan pengguna milik Britain, Unilever PLC (Unilever)atas dakwaan terlibat dalam boikot haram terhadap laman sosialnya.
Dalam tuntutan saman yang dibuat semalam di sebuah mahkamah daerah di Texas, beliau turut menamakan syarikat gergasi makanan Mars dan pemilik rangkaian farmasi CVS Health mengakibatkan kerugian berbilion dolar dan melanggar undang-undang persaingan AS.
Menurut Utusan Malaysia, laman itu dikemukakan berikutan pendapatan iklan yang merosot dengan mendadak pada 2022, sejurus Musk membeli X, yang ketika itu dikenali sebagai Twitter.
Ketua Pegawai Eksekutif X, Linda Yaccarino, berkata, ekoran pemilikan baharu oleh Musk itu, pendapatan iklan platform media sosial tersebut menjunam 40 peratus dalam tempoh enam bulan pertama berbanding tahun sebelumnya.
Sebelum ini, pelbagai jenama terkemuka dunia bertindak menarik iklan daripada X kerana ia dipaparkan di bawah kandungan yang dilabel berbaur perkauman, kebencian dan lucah.
X berkata sistem pengiklanan mereka telah dikemas kini bagi mengelakkan kejadian itu daripada berlaku lagi untuk tujuan keselamatan.
Namun begitu, pengiklanan masih tidak kembali pulih dan X perlu menjana pendapatan dengan menjual langganan X Premium yang menawarkan calit biru pengesahan identiti dan akses kepada beberapa ciri eksklusif X Pro.
Terdahulu, menurut Musk di laman X, pihaknya sudah cuba berdamai selama dua tahun namun tidak mendatangkan hasil.


































