KUALA LANGAT: Keengganan seorang lelaki membayar ganti rugi kerosakan kenderaan suspek yang dipinjamnya dipercayai punca dia diculik selama tiga hari di sekitar daerah ini, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun dilarikan beberapa lelaki yang bersenjatakan batang besi di rumah keluarganya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama dua ahli keluarga lain didatangi suspek yang menaiki sebuah kereta.
“Suspek kemudian memanggil dua daripadanya dan membawa mereka beredar dari rumah tersebut. Beberapa minit kemudian, hanya salah seorang pulang dan telefon bimbit mangsa gagal dihubungi,” katanya kepada pemberita, kelmarin.
Menurut beliau, hasil maklumat membawa kepada penahanan lima lelaki termasuk dua warga asing berusia 22 hingga 37 tahun, kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin.
“Polis turut berjaya menyelamatkan mangsa di sekitar Bandar Bukit Raja, Klang. Serbuan itu turut membawa rampasan sebuah kenderaan curi selain beberapa peralatan pecah rumah dan barang hasil kegiatan pecah rumah,” ujarnya.
Tambah Ahmad Ridhwan, motif awal kejadian dipercayai berpunca mangsa tidak mahu membayar ganti rugi kenderaan suspek yang dipinjamnya.
“Semakan mendapati dua suspek tempatan memiliki rekod jenayah lampau dan pihaknya berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah ini.
“Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Telok Datuk bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 365, 379A serta 457 Kanun Keseksaan,” katanya.


































