Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Perasmian Malaysia Maritim Week 2024 diiringi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini kelmarin
KUALA LUMPUR: Perairan negara perlu kekal sebagai kawasan terbuka kepada industri maritim dari seluruh dunia yang berhasrat untuk menjalankan atau meneruskan perdagangan sedia ada.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tidak banyak negara di dunia yang mempunyai kelebihan seperti Malaysia yang mempunyai hubungan baik dengan banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Tambahnya, pada masa sama, Malaysia juga meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dengan China serta memohon untuk menyertai gabungan BRICS (Brazil, Russia, India, China, Afrika Selatan).
“Sikap berkecuali ini pastinya akan membuahkan hasil kerana sebagai sebuah negara perdagangan, kita perlu meningkatkan perdagangan luar.
“Pada masa sama, perairan Malaysia harus kekal sebagai kawasan yang sentiasa mengalu-alukan semua industri maritim dari semua negara yang mahu terus berdagang dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Maritim Sedunia di sini kelmarin.
Perdana Menteri berkata, industri maritim perlu ditambah baik dengan menggunakan sumber sedia ada dan berinovasi bagi membolehkannya memainkan peranan penting meningkatkan ekonomi negara.
Tambahnya, bagi memenuhi hasrat itu, kerajaan bersama pemain industri maritim perlu mengukuhkan kerjasama dan komitmennya dalam meningkatkan keupayaan dan fasiliti pelabuhan negara.
Justeru, beliau menegaskan, sebagai negara maritim, Malaysia harus berasa gusar kerana perkembangan industri berkenaan ketika ini tidak setimpal dengan kekuatan asas yang ada termasuk legasi sejarah sejak dahulu.
“Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan perlu menyelaraskan usaha mereka dan memberikan apa saja yang diperlukan untuk memberikan sokongan supaya industri maritim ini menjadi lebih kuat, di samping perniagaannya lebih berdaya tahan,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, ketika ini hampir 90 peratus sektor eksport negara dipacu menerusi pengangkutan laut atau maritim sekali gus menunjukkan industri ini cukup penting dan berdaya saing.
“Kami berbangga untuk mengatakan bahawa pelabuhan seperti Pelabuhan Klang, PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas) dan (pelabuhan di) Pulau Pinang antara yang muncul sebagai pelabuhan paling berdaya saing.
“Saya percaya dengan sokongan industri ini, kita boleh memastikan bukan sahaja kita berada di kedudukan 20 teratas (sebagai pelabuhan terbaik dunia), tetapi mungkin boleh mencapai 10 teratas kerana kita mempunyai potensi,” katanya.


































