Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei muncul juara Kumpulan D Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempunyai laluan cerah untuk mara ke separuh akhir dalam acara beregu campuan di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut Utusan Malaysia, proses undian peringkat kalah mati semalam menyaksikan pasangan No.9 dunia itu bakal menentang gandingan No.8 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, awal pagi esok.
Sekiranya berjaya membenam Won Ho-Na Eun, Tang Jie-Ee Wei akan bertemu pemenang beregu utama Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung atau wakil tunggal Hong Kong Tang Chun Man-Tse Ying Suet di pentas separuh akhir.
Berdasarkan rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei mempunyai kelebihan apabila memenangi dua aksi terakhir daripada tiga perlawanan ke atas Won Ho-Na Eun.
Kedua-duanya bertemu kali pertama pada Terbuka Jerman 2023 yang menyaksikan pasangan negara tunduk 20-22, 14-21.
Namun pada dua pertemuan berikutnya, Tang Jie-Ee Wei menang 21-14, 21-13 di Kejohanan Badminton Asia 2023 di Dubai dan Terbuka China 2023 (21-15, 15-21, 21-18).
Pada aksi suku akhir lain menyaksikan pertembungan sesama sendiri dua beregu China, apabila pilihan pertama Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong melawan pilihan kedua Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping.
Satu lagi aksi suku akhir menyaksikan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun mencabar Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.
Tang Jie-Ee Wei mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A selepas mengejutkan Yan Zhe-Dong Ping, selain menewaskan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura dan Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat (AS).


































