Mohamed Shahriza Othman mengaku salah di Mahkamah Majistret Sungai Besar melarikan dua kanak-kanak perempuan, di Sabak Bernam, Selangor.
SABAK BERNAM: Perbuatan seorang penjual pisang goreng menculik dua kanak-kanak kerana inginkan anak perempuan mengundang padah apabila dijatuhi hukuman penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Majistret Siti Hajar Ali memutuskan demikian selepas tertuduh, Mohamed Shahriza Othman, 32, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Selain hukuman penjara, bapa kepada dua anak itu didenda sebanyak RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.
Siti Hajar dalam penghakimannya berkata, pengakuan bersalah tertuduh jelas menunjukkan kekesalan dan keinsafan atas insiden yang berlaku itu.
“Namun, hukuman harus bersifat deterrent (pencegahan) dan faktor kepentingan awam bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam. Kesalahan culik kini berleluasa dan satu kesalahan serius pada pandangan mahkamah,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Shahriza didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun daripada penjaga yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor, kira-kira pukul 6.30 petang,19 Julai lalu.
Kesalahan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melarikan dua kanak-kanak itu yang sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.
Tertuduh kemudian mengajak mangsa menemaninya untuk menghantar surat sambil memberikan upah wang tunai sebanyak RM50.
Kedua-dua mangsa mengikut tertuduh ke kedai runcit dan mengajak berjalan-jalan sekitar Jeram dan singgah di rumahnya sebelum menghantar semula mereka, kira-kira pukul 7.45 malam.
Peguam Muhd. Muqri Mohd. Khairi yang mewakili Mohamad Shariza memberitahu tertuduh merupakan penyara tunggal kepada isteri dan dua anak yang masih bersekolah dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan.
“Tujuan tertuduh berbuat demikian (menculik) kerana dia menginginkan anak perempuan. Setakat ini, belum ada rezeki dengan dua anak tertuduh adalah lelaki.
“Tertuduh juga menghantar dua mangsa kepada penjaga atau keluarga mereka dan ini kesalahan pertamanya,” katanya.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal memohon hukuman berat kerana kesalahan itu melibatkan kepentingan awam.
“Kes penculikan kini semakin meningkat dan boleh mengancam nyawa mangsa. Selain itu, penculikan bukan hanya melibatkan seorang tetapi dua mangsa. Mohon penjara berjalan berasingan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan suasana di sekitar Jeram, Kuala Selangor gempar apabila dua kanak-kanak dilaporkan hilang selepas dilarikan lelaki menaiki Bezza ketika pulang mengaji petang 19 Julai lalu.


































