Fadillah Yusof
SHAH ALAM: Gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global sejak semalam tidak menjejaskan operasi semua agensi kerajaan setakat ini.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemerhatian mendapati gangguan itu hanya melibatkan sektor penerbangan.
“Kita tiada menerima sebarang aduan daripada agensi kerajaan yang terjejas akibat gangguan sistem itu.
“Sehingga kini, pihak yang terlibat hanya syarikat penerbangan Air Asia,” katanya selepas melancarkan Sistem Pembayaran JuiceUp EV, hari ini.
Semalam, institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara dilaporkan terjejas akibat gangguan IT global.
Gangguan itu dikaitkan dengan sebuah firma keselamatan siber global Amerika Syarikat yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sedang memantau rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk mengurangkan kesan dan memulihkan semula operasi sektor terjejas secepat mungkin susulan gangguan tersebut.
Mengulas lanjut, kata Fadillah, kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan gangguan itu mampu diatasi.
“Ia satu cabaran bila kita menggunakan teknologi apatah lagi kalau ada glitches (gangguan). Kita akan berdepan pelbagai masalah dan penting untuk bersiap siaga termasuk mengenal pasti langkah-langkah yang patut diambil,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, kerajaan sedang mempergiatkan usaha memperluaskan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) termasuk kawasan luar bandar selaras sasaran sifar karbon menjelang 2050.
“Fokus kita kini mahu membuka stesen itu ke seluruh negara dan saya sendiri mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan pada Mei lalu.
“Ia termasuk memperluaskan stesen pengecasan yang ketika ini hanya banyak di lebuhraya atau kawasan rehat dan rawat (RNR),” katanya.


































