Dr. Dzulkefly Ahmad
PETALING JAYA: Gaji mereka yang memohon lantikan secara kontrak interim akan ditawarkan berdasarkan gaji akhir semasa lantikan kontrak.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pegawai perubatan, pergigian dan farmasi kontrak yang dilantik secara tetap di Kementerian Kesihatan setelah proses penilaian akan ditawarkan gaji berdasarkan gaji akhir semasa di lantikan kontrak.
Justeru, katanya, kelulusan khas itu turut terpakai sekiranya dilantik secara kontrak interim (lantikan tetap) kelak.
“Oleh itu, dakwaan bahawa Kerajaan tidak mengambil kira pengalaman dan memberi gaji yang rendah (kembali ke basic) adalah tidak tepat.
“Ini kerana segala pergerakan gaji tahunan dijawatan kontrak turut diambil kira untuk penetapan gaji permulaan dijawatan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, lewat malam tadi.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, kumpulan doktor kontrak yang sudah bertahun-tahun berkhidmat dalam perkhidmatan kesihatan awam kini bimbang kehilangan faedah- faedah perkhidmatan seperti cuti terkumpul apabila mereka mengisi jawatan pegawai perubatan Gred UD43.
Selain cuti terkumpul, mereka juga menggesa Kementerian Kesihatan dan SPA mempertimbangkan untuk mengekalkan tangga gaji akhir selain faedah-faedah lain sedia ada yang diperoleh mereka.
SPA kelmarin mengeluarkan iklan kekosongan 3,200 jawatan bagi pegawai perubatan Gred UD43 (kontrak interim); kekosongan 400 jawatan bagi pegawai farmasi Gred UF41 dan kekosongan 350 bagi pegawai pergigian Gred UG41.


































