PETALING JAYA : Polis mengesahkan teman wanita kepada seorang pelakon lelaki yang mendakwa dipukul kekasihnya hingga cedera, sudah menarik balik aduannya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, ketika mengesahkan perkara itu memaklumkan, mangsa menarik aduan berkait kejadian itu pada minggu lalu.
Kata beliau, mangsa ada membuat laporan menarik balik aduan pada minggu lalu.
“Kertas siasatan berkait kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk semakan pada minggu lalu.
“Kita sedang menunggu arahan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, pada pukul 3 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berusia 25 tahun keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.
Teman lelaki mangsa kemudian meminta wanita itu untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara.
Sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.
Secara tiba-tiba, teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita itu.
Pada 10 Julai lalu, suspek yang berusia 37 tahun tampil kepada pihak polis bersama bapanya untuk proses rakam keterangan dan tidak ditahan.
Polis dilaporkan turut merakam keterangan mangsa serta kakaknya untuk membantu siasatan.
Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan membawa hukuman penjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


































