Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat akan mempergiat program dan sesi libat urus di peringkat akar umbi bagi mendekati pelbagai segmen anak muda di Sabah serta meningkatkan sokongan mereka terhadap parti itu dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Datuk Azrul Ibrahim berkata pendekatan itu penting bagi memastikan suara, aspirasi dan kepentingan anak muda terus diberi perhatian.
Beliau berkata demikian selepas mesyuarat pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat yang dihadiri barisan EXCO dan ketua-ketua pergerakan bahagian pada 14 November bagi menyelaras serta memperkukuh gerak kerja organisasi susulan penstrukturan semula pentadbiran parti baru-baru ini.
Mesyuarat turut memberi perhatian kepada isu asas rakyat, khususnya bekalan air, jalan raya dan elektrik. Pemuda mengambil maklum perkembangan serta kemajuan projek berkaitan yang sedang dilaksanakan dan dijangka disiapkan secara berperingkat mengikut tempoh ditetapkan.
Azrul berkata selain memantau kemajuan projek infrastruktur, isu dan kesulitan yang dihadapi rakyat sementara menunggu projek berkenaan disiapkan juga perlu ditangani secara proaktif.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pemuda Gagasan Rakyat baru-baru ini mengadakan kunjungan dan pertemuan dengan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kuching bagi membina hubungan dan memperkukuh jaringan kerjasama antara sayap parti.
Pemuda Gagasan Rakyat turut menegaskan komitmen mempertahankan kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor daripada serangan, tohmahan dan fitnah tidak bertanggungjawab.
Azrul berkata sebarang dakwaan terhadap kepimpinan parti akan ditangani secara berfakta dan berprinsip.
Beliau berkata Pemuda bukan sahaja berperanan mempertahankan parti, tetapi juga menjadi penghubung antara suara rakyat dengan kerajaan bagi memastikan setiap isu, keluhan dan aspirasi rakyat mendapat perhatian sewajarnya.




























