Imej di televisyen CCTV menunjukkan bahagian jambatan yang sebahagiannya tenggelam.
BEIJING: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dan lebih 30 yang lain hilang selepas sebuah jambatan runtuh akibat hujan lebat di utara China, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, agensi berita Xinhua, jambatan yang merentasi sebuah sungai di Shangluo, wilayah Shaanxi runtuh sekitar pukul 8.40 malam (waktu tempatan), akibat hujan lebat dan banjir kilat.
Penyiar kerajaan China Central Television (CCTV) berkata, hampir 20 kenderaan dan lebih 30 orang dilaporkan masih hilang.
Setakat ini, 11 mangsa ditemukan di dalam lima kenderaan yang jatuh ke dalam sungai, kata penyiar itu.
Sementara itu, imej di televisyen CCTV menunjukkan bahagian jambatan yang sebahagiannya tenggelam.
CCTV berkata, Presiden China, Xi Jinping menggesa usaha menyeluruh dilakukan untuk mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
Sebahagian besar utara dan tengah China dilanda hujan sejak Selasa yang menyebabkan banjir dan kerosakan yang ketara.


































