Lukisan yang dihasilkan sekurang-kurangnya 51,200 tahun lalu di gua batu kapur Leang Karampuang, wilayah Maros-Pangkep, pulau Sulawesi
JAKARTA: Saintis menemukan lukisan gua yang dipercayai tertua di dunia, dihasilkan sekurang-kurangnya 51,200 tahun lalu, di sebuah gua batu kapur di pulau Sulawesi, Indonesia.
Menurut Utusan Malaysia, Pakar Arkeologi di Universiti Griffith, Maxime Aubert berkata, penemuan lukisan di gua Leang Karampuang di wilayah Maros-Pangkep itu menggambarkan tiga sosok manusia yang berinteraksi dengan seekor babi liar.
Penyelidik menggunakan pendekatan saintifik baharu untuk menentukan usia minimumnya melalui kaedah laser bagi mengukur kristal jenis kalsium karbonat yang terbentuk secara semula jadi di atas lukisan tersebut.
“Kaedah ini merupakan peningkatan yang signifikan berbanding kaedah lain dan sepatutnya merevolusikan seni batu di seluruh dunia,” katanya dalam jurnal Nature yang diterbitkan pada Rabu.
Lukisan tersebut menampilkan gambaran seekor babi dengan ukuran 92 kali 38 sentimeter yang berdiri tegak bersama tiga sosok seperti manusia, dengan semuanya dilukis dalam satu warna pigmen merah gelap.
Terdapat juga lukisan babi lain di dalam gua tersebut.
Penyelidik menggunakan kaedah pentarikhan yang sama untuk menilai semula usia lukisan gua Sulawesi lain dari tapak Leang Bulu’ Sipong 4, juga menggambarkan adegan naratif kali ini dengan sosok jelas manusia dan sebahagian binatang sedang berburu babi serta kerbau kerdil.
Ia ternyata berusia sekurang-kurangnya 48,000 tahun, lebih awal 4,000 tahun daripada anggaran sebelumnya.
Dalam lukisan Leang Karampuang, interaksi antara sosok mirip manusia dan babi, spesis yang masih mendiami pulau tersebut, masih agak samar.
Aubert berkata, lukisan itu mungkin lebih tua daripada usia minimum yang ditentukan oleh ujian baharu, dan berkemungkinan berasal dari gelombang Homo sapiens pertama yang melanda kawasan tersebut.
Sehingga kini, lukisan gua tertua yang terkenal ialah di gua Leang Tedongnge di Sulawesi, iaitu sekurang-kurangnya 45,500 tahun lalu.


































