SEPANG: Tindakan pantas orang awam merakam satu kejadian ragut bermotosikal di sini Jumaat, tidak sia-sia apabila peragut berkenaan berjaya ditahan polis tidak kurang enam jam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi di Southville City itu, seorang lelaki bermotosikal dikesan cuba meragut barangan berharga mangsa dipercayai warganegara China yang diletakkan di tepi jalan.
Bagaimanapun, cubaan ragut itu tidak berhasil dan suspek kemudian melarikan diri namun, kejadian itu sempat dirakam orang awam malah, nombor pendaftaran motosikal suspek juga berjaya direkodkan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, saksi kejadian kemudian membuat laporan polis kira-kira pukul 4 petang hari sama sebelum usaha mengesan suspek dilakukan.
Beliau berkata, suspek lelaki berusia 33 tahun akhirnya berjaya ditahan sebuah lorong di Kampung Jenderam Hilir setengah jam kemudian dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis turut merampas motosikal suspek. Siasatan awal mendapati, suspek seorang penganggur dan tiada kes jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, permohonan tahanan reman akan dibuat ke atas suspek hari ini bagi tujuan siasatan lanjut.

































