KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah akan menjalankan siasatan dalaman menyeluruh berhubung dakwaan kematian seekor kucing jantan selepas menjalani prosedur pembedahan kembiri di sebuah klinik veterinar kerajaan.
Dalam satu kenyataan, DVS Sabah memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan memandang serius dakwaan yang dilaporkan oleh seorang individu bernama thebareloons menerusi hantaran di platform media sosial Threads pada 11 Jun lalu.
Menurut kenyataan itu, siasatan akan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang melibatkan kucing jantan milik keluarga individu berkenaan.
“Jabatan mengambil maklum dan memandang serius dakwaan yang dilaporkan berhubung insiden kematian seekor kucing jantan selepas menjalani prosedur pembedahan kembiri di klinik veterinar kerajaan.
“Susulan itu, satu siasatan dalaman menyeluruh akan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan tersebut.
DVS Sabah berkata, siasatan itu akan merangkumi pemeriksaan dokumentasi, semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP), penelitian rekod berkaitan serta sesi soal selidik bersama petugas yang mengendalikan keseluruhan proses berkenaan.
Menurut jabatan itu, langkah berkenaan penting bagi memastikan semua aspek berkaitan prosedur yang dijalankan dapat diteliti secara terperinci dan objektif.
Bagi melengkapkan siasatan, pemilik haiwan berkenaan dinasihatkan supaya segera menghantar karkas kucing tersebut ke Makmal Diagnosa Veterinar (MDV) Kepayan untuk proses bedah siasat atau nekropsi.
DVS Sabah menjelaskan, nekropsi amat penting bagi membantu mengenal pasti punca sebenar kematian dan mendapatkan dapatan saintifik yang tepat.
Menurut kenyataan itu, tindakan segera perlu diambil kerana karkas yang telah mengalami proses autolisis atau pereputan boleh menjejaskan ketepatan diagnosis.
Jabatan itu turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional dan telus bagi memastikan semua fakta berkaitan insiden berkenaan dapat dikenal pasti dengan jelas.
































