Jamawi (tengah) dan Ruslan (dua dari kanan) memegang bantal lateks dan patung Proboscis Monkey bersama dengan yang lain.
BEAUFORT: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) mengambil langkah baharu dalam meningkatkan nilai industri getah negeri menerusi pengeluaran bantal berasaskan lateks yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 120,000 pekebun kecil getah di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menambah nilai lateks yang dihasilkan di negeri ini yang sebelum ini kebanyakannya dieksport ke Johor untuk kegunaan industri sarung tangan.
Menurutnya, pihak pengurusan LIGS telah mengubah suai kilang sedia ada menjadi kemudahan memproses bantal yang diperbuat sepenuhnya daripada lateks Sabah.
“Tujuan utama projek ini adalah untuk menambah nilai lateks yang kita hasilkan di Sabah. Sebelum ini, lateks kita dieksport secara langsung ke Johor, namun selepas membuat penilaian, LIGS mendapati pemprosesan di negeri ini mampu meningkatkan nilai produk dan secara langsung menambah harga pasaran lateks kepada pekebun kecil,” katanya ketika ditemui media selepas melawat kilang pemprosesan bantal lateks LIGS di sini pada Jumaat.

Jamawi (dua dari kanan), Ruslan (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Sabdil ketika melawat kilang pemprosesan bantal lateks LIGS.
Jamawi berkata, kilang berkenaan memulakan pengeluaran pertamanya pada 29 Mei lalu dan kini telah beroperasi selama dua minggu.
Beliau yakin usaha diterajui pengurusan LIGS itu mampu membuka lembaran baharu kepada industri getah Sabah serta meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Katanya, kapasiti semasa kilang itu mampu menghasilkan sehingga 400 bantal sehari bagi operasi lapan jam dan boleh ditingkatkan sekiranya permintaan pasaran bertambah.
Menurut beliau, produk bantal lateks keluaran LIGS berpotensi bersaing dengan produk import yang kini dijual pada harga sekitar RM399 hingga RM400 seunit.
“Kita mahu menawarkan produk berkualiti pada harga yang lebih berpatutan. Yang penting, ada pulangan kepada pekebun kecil dan pada masa sama pengguna memperoleh produk yang berkualiti,” katanya.
Selain bantal, sisa pemotongan lateks yang tidak digunakan turut diproses menjadi patung Proboscis Monkey.
Jamawi berkata, produk cenderamata itu berpotensi dipromosikan sempena Tahun Melawat Sabah 2027 menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Beliau berkata, sekiranya produk berkenaan mendapat sambutan dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan, ia berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Menurutnya, Sabah mempunyai kira-kira 500,000 ekar tanaman getah yang diusahakan lebih 120,000 pekebun kecil, dengan daerah Tenom merekodkan keluasan tanaman getah terbesar di negeri ini.
“Golongan inilah yang perlu kita bantu. Hari ini harga getah juga menunjukkan peningkatan kepada sekitar RM10 sekilogram berbanding sekitar RM7 beberapa bulan lalu dan ini sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada pekebun getah di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya turut merancang memperluaskan industri hiliran getah melalui pembangunan fasa kedua yang berpotensi dilaksanakan di Tenom dalam tempoh beberapa tahun akan datang berdasarkan kejayaan projek di Beaufort.
Turut hadir Pembantu Menteri yang juga ADUN Lumadan, Datuk Haji Ruslan Muharam; Pengurus Besar LIGS, Sabdil Tanjong; Pengurus Besar LPBS, Datuk Dr. Ramle Haji Kasin dan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA), Dato Shawn Davey.
































