Fahmi Fadzil
NIBONG TEBAL : Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengingatkan semua pihak yang sengaja memuat naik komen jelik membabitkan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum menerusi platform sosial secara langsung (live) bahawa mereka boleh dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, peringatan sama diberikan terhadap pengguna media sosial meliputi calon dan penyokong Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) yang terlibat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Katanya, penyokong kedua-dua calon terbabit diminta agar sentiasa beradab dan berkelakuan baik terutamanya ketika berkomunikasi dalam media sosial.
“Kerisauan kita adalah orang yang menggunakan akaun palsu untuk cuba mengeruhkan keadaan dan mengeluarkan kenyataan yang tidak baik.
“Ramai beranggapan kalau tinggalkan komen jelik dalam FB ‘live’ dan Tik Tok ‘live’ ini tidak akan ada kesan kepada mereka, tapi sebenarnya tidak ya, dan kita nak maklumkan pemantauan ini sentiasa berjalan.
“Sekiranya ada mana-mana pihak yang menggunakan platform media sosial termasuk sesi ‘live’ dengan menyentuh isu 3R dan melanggar undang-undang, maka MCMC akan ambil tindakan,” katanya selepas selesai proses penamaan calon PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Jawi.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Kementerian Komunikasi telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membendung berita palsu di media sosial sempena PRK DUN Sungai Bakap.
Fahmi berkata, pemantauan platform berkenaan sememangnya dilaksanakan untuk menangani kenyataan tidak bertanggungjawab.

































