Armizan Mohd. Ali
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberi maklumbalas dalam tempoh 24 jam keatas setiap aduan daripada pengguna yang diterima oleh agensi berkenaan sejurus kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sejurus aduan diterima anggota penguat kuasa KPDN akan turun ke lapangan untuk membuat siasatan dan mengeluarkan notis kepada pihak yang terlibat.
“Pihak yang terlibat perlu menjawab notis tersebut dalam tempoh enam hari. Aduan itu melibatkan caj, harga dan bekalan dan ini merupakan sebahagian daripada penambah baikan yang dibuat kerajaan menerusi Ops Kesan 2.0.
“Pada masa sama KPDN akan melanjutkan waktu pengoperasian Pusat Arahan Penguatkuasaan yang sudah bermula ketika ini bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam setiap hari agar siasatan segera dapat dilakukan ke atas aduan yang diterima berhubung pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) dan aduan kenaikan harga dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Libat Urus Bersama Pengusaha Stesen Minyak Seluruh kelantan di sini hari ini.
Armizan memberitahu, sebelum itu KPDN telah proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang bermula pada 2 Mei lalu. Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, penubuhan pasukan tugas khas di peringkat ibu pejabat bagi menyelaras dan menyelesaikan isu-isu yang timbul daripada pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel membuktikan betapa seriusnya kerajaan dalam memastikan pelaksanaan ini tidak memberikan kesan.
“Kita turut mewujudkan aduan khas menerusi 012-6654292 sebagai salah satu penambah baikan. KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
“Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723],” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Mei bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel dengan jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka (secara kasar) sekitar RM4 bilion setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel itu hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, hal ini kerana, hampir setiap keluarga di Sabah dan Sarawak menggunakan diesel bagi kenderaan untuk kegunaan harian mereka.
































