ALOR GAJAH: Hanya kerana berang tidak dibenarkan menggunakan motosikal, seorang penganggur sanggup bertindak ganas menetak abang kandungnya dengan parang dalam kejadian di Kampung Nelayan, Kuala Linggi di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa berusia 33 tahun mengalami kecederaan putus urat jari tangan kiri sehingga menyebabkan tiga jarinya tidak dapat digerakkan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, suspek berumur 27 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan di lokasi kejadian selepas melibas parang ke arah mangsa.
Ujarnya, suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Sebelum ditetak, mangsa ke kaunter aduan di Balai Polis Kuala Sungai Baru untuk mendapatkan bantuan daripada anggota.
“Dia memaklumkan suspek sedang mengamuk di rumah dan memukulnya menggunakan sebatang kayu serta merosakkan bahagian hadapan motosikal miliknya.
“Anggota cegah jenayah bersama bantuan Jabatan Sukarelawan (Rela) telah menemani mangsa ke rumahnya untuk menahan suspek, namun lelaki tersebut menjadi agresif dan terus menyerang abangnya menggunakan sebilah parang,” katanya.
Tambah Ashari, siasatan awal mendapati suspek dikatakan bertindak agresif selepas berang mangsa enggan meminjamkan motosikal kepadanya.
“Parang digunakan suspek sepanjang 45 sentimeter turut dirampas. Mangsa berada dalam keadaan stabil dan sedang dalam pemantauan rawatan oleh doktor di Hospital Melaka,” katanya.
































