Nelson Angang
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO, Senator Datuk Nelson Anggang berkata, mereka yang menyokong peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick sepatutnya memahami prinsip asas tanggungjawab kolektif dalam kalangan anggota Kabinet.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, prinsip ini menetapkan bahawa sebaik sahaja keputusan dicapai oleh Kabinet, semua anggota mesti menyokongnya secara terbuka, tanpa mengira sebarang keraguan peribadi yang mungkin mereka ada pada mulanya.
Oleh itu, katanya, sebelum menuntut beliau (Ewon) meletak jawatan, adalah penting untuk memastikan sama ada memang ada keputusan Kabinet berhubung penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah.
“Adakah pengkritik ini mempunyai bukti konkrit yang mengesahkan wujudnya keputusan Kabinet yang menyokong pembentukan JKDM di Sabah?
“Datuk Ewon telah menjelaskan bahawa tiada keputusan sedemikian dibuat oleh Kabinet; sebaliknya, beliau menekankan perlunya terlebih dahulu melibatkan diri dalam perbincangan dan rundingan dengan Kerajaan Sabah mengenai perkara ini.
“Datuk Joniston Bongkuai juga telah menimbulkan kebimbangan mengenai penubuhan JKDM di Sabah, memandangkan potensi ianya bertindih dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada.
“Oleh itu, memandangkan tiada keputusan mengenai penubuhan JKDM di Sabah, maka tanggungjawab kolektif tidak timbul dan mencabar Datuk Ewon meletakkan jawatan menunjukkan kejahilan mereka yang menuntutnya,” kata Nelson.
Beliau berkata, pemimpin-pemimpin ini berhujah bahawa menentang penubuhan JKDM adalah sama seperti menolak peluang untuk mendapatkan lebih banyak dana pembangunan untuk Sabah.
“Sudah tentu, kita semua mengalu-alukan sebarang peruntukan dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk memberi manfaat kepada Sabah. Bagaimanapun, perkara kritikal yang dihadapi ialah bagaimana dana ini diurus dan oleh siapa, kerana ini akan membentuk proses membuat keputusan dan pelan strategik bergerak ke hadapan.”
Perbincangan ini berbalik kepada tujuan asas di sebalik pindaan Ordinan Kerajaan Tempatan: bagi memberikan Sabah autonomi untuk mentadbir hal ehwalnya sendiri dengan berkesan.
“Saya menggesa pemimpin yang lantang ini untuk menerima pakai perspektif yang lebih luas dan mempertimbangkan implikasi jangka panjang. Perundangan dan dasar yang membawa kepada pindaan Ordinan Kerajaan Tempatan bukan sahaja menyokong Kerajaan Sabah sekarang tetapi juga meletakkan asas bagi mana-mana pentadbiran Sabah masa depan,” kata Nelson.


































