Gunung Ibu meletus sejak semalam dan penduduk dari tujuh buah kampung diarahkan berpindah.
JAKARTA: Beratus-ratus orang yang tinggal berhampiran gunung berapi yang meletus di timur Indonesia dipindahkan selepas pihak berkuasa menaikkan status berjaga-jaga ke tahap tertinggi.
Pihak berkuasa menaikkan status amaran untuk Gunung Ibu yang terletak di pulau Halmahera, ke tahap tertinggi sistem empat peringkat selepas merekodkan dua letusan besar untuk hari kedua berturut-turut.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai agensi mitigasi bencana tempatan, Muhammad Ade Fabanyo kepada AFP, penduduk di tujuh kampung berhampiran Gunung Ibu yang memuntahkan abu dan asap 5,000 meter ke langit, mula berpindah ke beberapa tempat perlindungan lewat petang semalam selepas pihak berkuasa menaikkan status berjaga-jaga.
“Sehingga hari ini, mangsa terus tiba dan setakat pagi ini, data awal yang kita ada adalah sekitar 400 orang (dipindahkan),” kata Muhammad Ade.
Beliau berkata pemindahan itu adalah langkah pencegahan yang diambil oleh pihak berkuasa kerana penduduk tinggal sekitar tujuh kilometer dari gunung berapi, dalam zon pengecualian yang ditetapkan oleh pegawai.
Gunung Ibu meletus lagi pada pagi ini, memuntahkan menara abu gunung berapi 4,000 meter di atas puncaknya, kata ketua agensi geologi negara, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa menasihatkan penduduk dan pelancong supaya menjauhi zon berkenaan terkecuali bagi kawasan empat hingga tujuh kilometer dengan memakai topeng muka sekiranya berlaku hujan abu.
Gunung Ibu adalah satu daripada gunung berapi paling aktif di Indonesia, meletus lebih daripada 21,000 kali tahun lepas.
Lebih 700,000 orang tinggal di pulau Halmahera setakat 2022, menurut angka rasmi.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi yang kerap kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Bulan lalu, Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara meletus lebih daripada enam kali, memaksa ribuan penduduk pulau berdekatan berpindah.
Statusnya sejak itu diturunkan ke tahap amaran kedua tertinggi.


































