Hussein Omar Khan menunjukkan kad ATM yang dirampas polis dalam serbuan tersebut dekat IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor.
SHAH ALAM: Polis menumpaskan sindiket jual beli akaun bank orang awam yang dipercayai untuk digunakan bagi aktiviti penipuan (scam) dalam siri serbuan sekitar Lembah Klang, pada minggu lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis menahan 16 individu termasuk dua pegawai bank yang merupakan pakar deposit atas talian serta seorang warga Nigeria masing-masing berusia antara 20-an hingga 30-an.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Hussein Omar Khan berkata, sindiket tersebut berjaya dikesan menerusi risikan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak selama beberapa bulan serta saluran maklumat daripada orang awam.
Menurutnya, siasatan awal polis mengenal pasti lima akaun terlibat dalam 15 kes penipuan atas talian dengan melibatkan kerugian RM2.3 juta di seluruh negara dan kesemua transaksi berlaku sejak bulan lalu.
“Serbuan dibuat pada 20 hingga 23 Mac lalu di beberapa buah lokasi, termasuk sebuah bank di Gombak. Kita menahan keseluruhan 16 individu, 14 daripadanya adalah warga tempatan.
“Modus operandi digunakan sindiket terbabit adalah membeli akaun bank dan kad mesin teler automatik (ATM) daripada mana-mana individu berharga antara RM500 hingga RM1,500,” katanya dalam sidang akhbar, kelmarin.
Jelasnya, akaun bank dan kad ATM itu akan digunakan bagi tujuan memasukkan serta mengeluarkan wang yang mereka perolehi hasil daripada kegiatan penipuan mereka secara atas talian.
“Malah terdapat beberapa kes suspek membawa pemilik akaun ke pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) auntuk mendaftar syarikat bagi membolehkan pemilik akaun berkenaan membuka akaun bank syarikat.
“Sindiket itu dipercayai melakukan kegiatan jenayah berkenaan kira-kira enam bulan, dengan kegiatan jenayah dilakukan mereka seperti love scam, penipuan panggilan dan lain-lain lagi,” ujarnya.
Selain tangkapan, dalam serbuan tersebut polis turut merampas 31 unit telefon bimbit, 30 keping kad ATM pelbagai bank, sebuah mesin pencetak, sebuah komputer riba dan sebuah fail yang mengandungi pelbagai dokumen.
Kata Hussein lagi, siasatan lanjut terhadap dua pegawai bank berkenaan mendapati dua suspek berkenaan telah membuka 40 buah akaun bank.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan polis tidak menolak kemungkinan ada pegawai bank daripada bank lain yang bersubahat dengan sindiket tersebut, dan pihaknya sedang memburu pegawai terbabit.
“Salah seorang suspek pernah ditahan pada tahun 2021 atas kesalahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
“Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KPJ) dengan kes disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.”
Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak terpedaya dengan tawaran lumayan pembelian dan membuat akaun bank di media sosial.


































