Penguat kuasa Imigresen menahan seramai 54 call girl warga asing dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 54 ‘call girl’ warga asing susulan serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, di sini tengah malam kelmarin.
Dalam serbuan pukul 12 tengah malam itu, pihak penguat kuasa terbabit turut menahan enam lelaki warga asing yang merupakan pekerja premis tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JIM Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, dalam serbuan tersebut, seramai 93 individu diperiksa dan 63 daripadanya berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun ditahan.
“60 warga asing yang ditahan itu disyaki bekerja sebagai ‘call girl’ dan juga pekerja premis itu sendiri.
“Turut ditahan seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan yang disyaki sebagai penjaga premis dan penyelia aktiviti tidak bermoral ini,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Baharuddin berkata, kesemua wanita warga asing itu ditugaskan untuk menemani pelanggan dengan minum bersama-sama mereka.
Katanya, ‘call girl’ yang ditahan terdiri daripada 48 wanita Vietnam, tiga Thailand, seorang Indonesia dan dua warga China.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua wanita itu menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Isteri kepada Warganegara, dan tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya.
Katanya, kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Tambahnya, tiga warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta yang sama kerana melindungi warga asing.
“Kesemua tahanan warga asing dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.


































