PETALING JAYA: Sebarang tindakan ke atas 34 pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya ditentukan berdasarkan hasil keputusan siasatan kelak.
Menurut Utusan Malaysia, Cawangan Perhubungan Awam dalam satu kenyataan berkata, JKDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut.
Kata kenyataan itu, pendirian jabatan adalah jelas dan tegas yang mana tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai dan anggota terlibat dengan salah laku dan pelanggaran integriti termasuk jenayah rasuah.
“JKDM telah dan sedang mengambil langkah langkah proaktif secara berterusan bagi mengekang aktiviti rasuah dan ketirisan di pintu-pintu sempadan.
“Ini termasuk menambah baik prosedur import dan eksport di pintu masuk negara terutamanya berkaitan kawalan manifest atau airway bill dan pengikraran bagi memastikan pematuhan dan tata kelola baik dilaksanakan.
“Selain mewujudkan elemen semak dan imbang (check and balance) serta memperkasakan pelaksanaan proses saringan integriti terhadap pegawai JKDM yang akan di tempatkan di bahagian yang berisiko tinggi melibatkan perkastaman termasuk import dan eksport,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, JKDM akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan.
Selain itu, JKDM juga akan meneliti semula amalan, prosedur dan tatacara kerja bagi menutup ruang dan peluang rasuah dan mendapatkan pandangan dan syor oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM bagi penambahbaikan yang sewajarnya.
“JKDM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak SPRM dalam memerangi jenayah rasuah selaras dengan agenda utama JKDM pada masa ini dalam memartabatkan nama baik jabatan pada pandangan masyarakat,”jelasnya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, seramai 34 anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan selepas bersekongkol dengan sindiket penyeludupan terlibat.
Kata beliau, menerusi operasi khas Op Samba 2.0 dilakukan pada 11 sehingga 25 Mac lalu yang diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) turut menahan 27 orang awam dan pemilik syarikat ejen penghantaran (forwarding agent).
Jelas beliau, mereka ditahan terdiri penguat kuasa berpangkat gred 19 hingga gred 44 dengan memegang jawatan sebagai Pembantu Penguasa Kastam sehingga Penolong Pengarah Kastam berusia 30 dan 50-an.
Mereka disyaki menerima bayaran tertentu daripada syarikat ejen penghantaran (forwarding agent) sebagai balasan melindungi aktiviti penyeludupan yang dijalankan sejak tahun 2017 sehingga kini.
Hasil kegiatan ini, kesemua mereka disyaki menerima wang rasuah berjumlah lebih RM 4.7 juta hasil bersekongkol dengan sindiket terlibat.


































