Azizah S. Ahmad
KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) menyambut baik dan menzahirkan penghargaan atas keputusan Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan pelaksanaan dasar serta operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di bawah Akta 860 di semua pintu masuk negeri ini.
Presidennya, Azizah S. Ahmad berkata, keputusan itu mencerminkan ketegasan Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, pihaknya mewakili seluruh pegawai imigresen di Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor serta Jabatan Ketua Menteri atas keprihatinan dan tindakan pantas dalam menangani isu berkenaan.
“Kami amat menghargai langkah ini yang menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam melindungi kepentingan Sabah serta memastikan aspek perundangan terus dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), pegawai imigresen Sabah serta rakan media yang memberikan sokongan padu sehingga isu tersebut mendapat perhatian dan keputusan dasar yang sewajarnya.
Menurutnya, kesepaduan antara semua pihak membuktikan bahawa kebajikan penjawat awam serta persekitaran perundangan yang selamat adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KPPIS turut menghargai sokongan yang diberikan oleh Sabah Law Society (SLS) menerusi kenyataan pada 13 Mei lalu.
Katanya, kepekaan badan peguam itu terhadap percanggahan serta isu perundangan dalam pelaksanaan Akta 860 amat penting dalam memastikan setiap tindakan berada dalam landasan undang-undang yang betul.
“KPPIS berharap SLS dapat terus memberikan nasihat dan penelitian perundangan agar setiap langkah yang diambil kekal selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang Sabah,” katanya.
Sementara itu, Azizah berkata, KPPIS akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama KPISM di peringkat nasional sebagai langkah ke hadapan.
Menurutnya, gabungan suara antara Sabah dan Semenanjung akan membolehkan kedua-dua kesatuan bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap pelaksanaan dasar serta tadbir urus AKPS di seluruh negara.
Katanya, fokus utama adalah memastikan sebarang peralihan atau pemusatan kuasa penguatkuasaan sempadan tidak menjejaskan bidang kuasa khusus imigresen serta melindungi pegawai penguat kuasa daripada konflik perundangan.
“Kami menyokong usaha memperkukuh keselamatan sempadan negara, namun ia mesti dilaksanakan tanpa mengorbankan kedaulatan perundangan wilayah, kuasa autonomi negeri serta perlindungan kepada pegawai di barisan hadapan,” katanya.
Beliau menegaskan KPPIS akan terus memainkan peranan dalam memastikan kebajikan dan kepentingan pegawai imigresen Sabah sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip perundangan dan Perlembagaan.
































