Ishak dan tetamu kehormat mengambil gambar kenangan bersama peserta.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun menyifatkan pendakian Gunung Kinabalu oleh Wira Transplant Malaysia sebagai simbol keberanian, harapan dan ketabahan dalam memperjuangkan kesedaran mengenai pendermaan organ serta transplantasi di negara ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, program tersebut bukan sekadar cabaran fizikal, malah membawa mesej penting kepada masyarakat mengenai peluang kedua kehidupan melalui transplantasi organ.
Sehubungan itu, katanya, pendakian berkenaan diharap dapat terus meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan pendermaan organ.
Masidi berkata demikian ketika merasmikan majlis pelepasan Program 2026 Mount Kinabalu Expedition on Organ Transplant Awareness anjuran Wira Transplant Malaysia (WTM) yang diadakan di sini. Beliau diwakili Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd. Ishak Ayub.
Sementara itu, Ishak berkata kira-kira 51,000 rakyat Malaysia kini menjalani rawatan dialisis, dengan peningkatan sekitar 27 pesakit setiap hari.
Katanya, penyakit buah pinggang serta rawatan dialisis jangka panjang bukan sahaja memberi kesan kepada kos penjagaan kesihatan, malah turut menjejaskan produktiviti, sumber pendapatan keluarga dan kualiti hidup masyarakat.
“Keadaan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ serta memperkukuh sistem transplantasi negara,” katanya.
Beliau berkata, pendakian itu merupakan simbol perjuangan dan harapan bagi pesakit transplantasi serta keluarga mereka, selain menjadi platform penting untuk mendidik masyarakat.
Menurutnya, program tersebut turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Persatuan Transplantasi Malaysia dan Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia melalui pembiayaan orang ramai.
“Ia mencerminkan semangat komuniti apabila rakyat Malaysia bersatu demi satu tujuan yang mampu menyelamatkan nyawa.
“Setiap langkah para pendaki membawa mesej bahawa harapan tidak harus dipadamkan dan kehidupan sentiasa berbaloi untuk diperjuangkan,” katanya.
Pendakian itu merupakan penganjuran kali ketiga oleh WTM selepas kejayaan program sama pada tahun 2022 dan 2024, sekali gus membuktikan sokongan masyarakat terhadap usaha berkenaan semakin meningkat.
Turut hadir Presiden Persatuan Transplantasi Malaysia, Dr. Zaimi Wahab, Pengerusi Yayasan Kelab-Kelab Rotary Malaysia, Datuk Zainie Abdul Aucasa serta Presiden Wira Transplant Malaysia, Manvir Victor.
































