Dr. Joachim memyampaikan cenderamata kepada Yong.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, penggunaan teknologi pencahayaan moden mampu meningkatkan kecekapan utiliti serta kualiti kemudahan awam di negeri ini.
Menurutnya, penerapan teknologi seperti lampu LED, lampu solar dan sistem pencahayaan pintar bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah turut memperkukuh aspek keselamatan khususnya di jalan raya.
“Penggunaan teknologi pencahayaan moden ini penting dalam memastikan pembangunan infrastruktur kita lebih efisien, selamat dan mesra alam selaras dengan keperluan semasa,” katanya ketika menerima kunjungan hormat syarikat Oversea Concept Lighting (M) Sdn. Bhd. di Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), di sini, hari ini.
Kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan syarikat serta berkongsi perkembangan teknologi dan solusi pencahayaan moden yang ditawarkan.
Syarikat berkenaan diwakili Pengurus Jualan dan Pemasarannya, Sheila Yong.
Dalam pertemuan itu, Dr. Joachim turut diberi taklimat mengenai pelbagai inovasi terkini dalam sektor pencahayaan yang berpotensi untuk diaplikasikan di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menilai penggunaan teknologi baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, usaha memperluaskan penggunaan teknologi moden dalam sektor utiliti perlu diberi perhatian bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan lebih berkualiti dan mampan.
“Pendekatan ini juga penting dalam menyokong agenda pembangunan lestari serta mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai komitmen syarikat tempatan yang terus aktif menyumbang kepada pembangunan sektor infrastruktur dan utiliti negara melalui inovasi.
Sementara itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama khususnya dalam memperluas penggunaan teknologi pencahayaan moden di Sabah.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Cawangan Trafik dan Pengangkutan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Muji Ampau, serta beberapa pegawai JKR.
































