KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan tiga pembantu penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM10,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah lori milik syarikat perkakasan dan pengangkutan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang dan 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan berkenaan dalam tempoh antara Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai secara bulanan sebanyak RM500 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi pihak ketiga,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd. Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.






























