Isnin (dua kanan) bersama para pemimpin lain menyampaikan sumbangan kepada seorang daripada penerima.
SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berharap syarikat-syarikat korporat di negeri ini melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mereka yang memerlukan.
Beliau meluahkan harapan tersebut pada Majlis Berbuka Puasa Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah dengan kerjasama Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) yang diadakan di Masjid Daerah Sandakan, di sini, kelmarin.
Majlis tersebut yang diadakan untuk gabungan 3 parlimen iaitu Parlimen Batu Sapi, Parlimen Sandakan dan Parlimen Libaran, dihadiri lebih 1,500 tetamu.
Ia merupakan lokasi yang ke-11 daripada 20 lokasi yang dirancang untuk Program Amal Iftar Ramadan UPPM – KTC. Destinasi seterusnya ialah Parlimen Ranau, Tuaran, Kudat, Kota Marudu, Kota Bus Sepanggar, Sipitang, Keningau, Tenom, Pensiangan dan diakhiri di Parlimen Beaufort pada 7 April 2024.
Mengucapkan syabas dan tahniah kepada UPPM Sabah dan KTC atas kerjasama ini, Ketua Menteri berharap semoga tahun depan lebih banyak syarikat korporat yang akan turut serta di dalam program sebegini.
Hajiji berkata, usaha seperti ini seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri yang sememangnya amat menghargai peranan dan jasa mana-mana badan korporat, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutamanya ketika menjelang musim perayaan.
“Sesungguhnya usaha murni ini memberikan sedikit kegembiraan kepada para penerima,” katanya. Ucapan beliau yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih.

Hajiji gembira kerana pada bulan Ramadan yang mulia ini, UPPM dan beberapa pihak swasta seperti KTC, Sabah Softwood Berhad, Jetama Water Sdn. Bhd., Benta Wawasan Sdn. Bhd., Asian Supply Base Sdn. Bhd., Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. dan Qhazanah Sabah Berhad turut memberikan sumbangan kepada yang memerlukan untuk sambutan Aidilfitri.
“Saya turut berasa bangga dengan usaha murni UPPM di dalam mengimarahkan bulan Ramadan ini, dengan komited dan kesungguhan mengadakan majlis iftar di seluruh negeri,” katanya lagi.
Menurutnya, sejak mengambil alih pemerintahan Sabah pada bulan September 2020, Kerajaan Negeri komited dan akan terus memberikan komitmen yang tinggi untuk terus memberikan bantuan tanpa diskriminasi kepada mana- mana kaum dan agama.
Justeru, katanya, UPPM memainkan peranan penting dengan membantu Kerajaan mengenal pasti rakyat yang memerlukan bantuan tanpa mengira kaum dan agama.
“Sebagai antara agensi Kerajaan Negeri yang menyampaikan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan kepada rakyat, semua pegawai dan kakitangan UPPM perlu sentiasa berada di kawasan masing-masing bagi memudahkan masyarakat berjumpa dengan mereka.
“Jawatan yang digalas adalah satu tanggungjawab besar sebagai penghubung kepada rakyat untuk menyampaikan masalah dan kekurangan di kawasan mereka kepada Kerajaan,” katanya.
Mengucapkan syabas kepada semua warga UPPM yang terlibat dalam penganjuran majlis ini, Hajiji merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih juga kepada Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau serta semua pihak yang turut memberi sumbangan.

“Semoga bulan suci ini dapat diraikan dengan penuh semangat muhibah dan harmoni,” ujarnya.
Seramai 110 orang golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas menerima sumbangan bantuan Ramadan pada majlis tersebut.
Hadir sama, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon; ADUN Karamunting, Datuk George Hiew; Senator Anna Bell Perian; Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin Tang; Presiden MPS Sandakan, Henry Idol; Dexter; serta ketua-ketua jabatan Kerajaan dan para pemimpin masyarakat yang lain.


































