Joniston disambut setibanya beliau pada sambutan Kaamatan dan sesi libat urus bersama wakil Mahkamah Anak Negeri serta ketua kampung di Kiulu, hari ini.
KIULU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan naratif pembangkang yang mendakwa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melakukan secukupnya dalam menuntut hak perlembagaan 40 peratus hasil negeri Sabah.
Berucap semasa sambutan Kaamatan dan sesi libat urus bersama wakil Mahkamah Anak Negeri serta ketua kampung di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa kepimpinan negeri kekal komited sepenuhnya untuk mendapatkan hak tersebut secepat mungkin.
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, pendekatan Kerajaan Negeri yang menekankan rundingan, libat urus serta hubungan kerja yang harmoni dengan Kerajaan Persekutuan kini mula menunjukkan hasil positif.
Menurutnya, perkembangan itu dapat dilihat melalui peningkatan Geran Khas daripada RM53 juta semasa pentadbiran Warisan kepada RM600 juta di bawah Kerajaan GRS ketika ini.
Beliau turut menegaskan bahawa pentadbiran GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datik Seri Haji Hajiji Haji Noor telah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS, yang disifatkan sebagai langkah strategik yang menjana pulangan berbilion ringgit kepada Sabah.
“Kerajaan GRS kekal tegas dan tidak akan berundur dalam usaha menuntut hak hasil 40 peratus. Dalam masa sama, kepimpinan negeri juga akan terus berusaha mendapatkan Geran Khas yang lebih tinggi serta memperluas kerjasama dengan Putrajaya,” katanya.
Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu turut menggesa ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya menangkis naratif pembangkang di peringkat akar umbi dengan membantu menjelaskan dasar serta inisiatif Kerajaan kepada rakyat.
Sementara itu, beliau mengumumkan penubuhan sebuah panel bebas bagi menilai prestasi dan keberkesanan ketua kampung di Kiulu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Panel ini juga akan menerima serta meneliti aduan berkaitan prestasi dan tingkah laku ketua kampung. Kita tidak akan teragak-agak untuk menggantikan mereka yang gagal menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata, panel berkenaan akan dianggotai individu berintegriti dan melapor terus kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, sambil menambah bahawa inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kepimpinan akar umbi kekal berakauntabiliti dan berkesan dalam berkhidmat kepada rakyat.
































