Nizam (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis penutupan Hari Sukan Anak Sabah semalam.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah merancang menubuhkan sebuah unit khas bagi memacu pertumbuhan ekonomi kreatif di negeri itu sebagai antara inisiatif memperkasa golongan muda.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu bertujuan membuka lebih banyak peluang kepada anak muda Sabah untuk menjadikan minat dan bakat mereka sebagai kerjaya mampan serta mampu menjana pendapatan.
Menurutnya, perkembangan dunia hari ini memperlihatkan bidang baharu seperti e-sukan dan industri kreatif semakin berkembang pesat dan perlu dimanfaatkan sebagai platform pembangunan belia serta peluang ekonomi.
“Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah sedang merancang pelbagai inisiatif termasuk menubuhkan sebuah unit khas untuk memacu pertumbuhan ekonomi kreatif.
“Usaha ini bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak muda Sabah untuk menjadikan minat dan bakat mereka sebagai kerjaya yang mampan serta mampu menjana pendapatan pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Hari Sukan Anak Sabah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Nizam berkata, golongan mahasiswa khususnya dari Sabah bukan sekadar penuntut ilmu, sebaliknya pemimpin masa hadapan yang membawa idea, tenaga dan semangat perubahan.
Katanya, mereka juga merupakan penggerak masyarakat dan pencetus kepada budaya yang lebih sihat serta progresif.
“Kerajaan Sabah sudah menunjukkan komitmen besar terhadap pembangunan pendidikan dan belia.
“Melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), seramai 13,550 pelajar Sabah menerima manfaat dari tahun 2021 hingga 2024,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun lalu kerajaan negeri meningkatkan peruntukan BKNS sehingga mencecah RM136 juta sebagai bukti bahawa pelaburan terbesar untuk masa depan Sabah adalah kepada golongan muda.
Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memperkukuhkan agenda pembangunan anak muda menerusi inisiatif Belia Sabah Maju Jaya (Belia SMJ) yang memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan, keusahawanan, latihan kemahiran, TVET, ekonomi kreatif dan pemerkasaan belia di seluruh Sabah.
“Kita mahu memastikan anak-anak muda Sabah bukan sahaja berjaya dalam akademik dan sukan, tetapi turut mempunyai daya saing, peluang pekerjaan dan ruang untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Mengenai program berkenaan, Nizam memuji penganjurannya kerana berjaya menghimpunkan penyertaan anak-anak Sabah daripada tiga kampus universiti menerusi pelbagai acara seperti futsal, badminton, bola tampar dan e-sukan.
Katanya, program itu bukan sahaja menunjukkan kepelbagaian bakat, malah membuktikan generasi muda Sabah mampu bersaing dalam pelbagai arena.
“Tahniah kepada Persatuan Ikatan Anak-Anak Sabah Kampus Gombak dan seluruh jawatankuasa yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan program ini,” katanya.




























