Dr. Joachim merasmikan pembukaan SOGCE 2026.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan semula komitmennya untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan mampan, pertumbuhan perniagaan dan daya saing industri ketika negeri ini memperkukuhkan peranannya dalam landskap tenaga Malaysia yang semakin berkembang.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh infrastruktur, meningkatkan kecekapan tadbir urus, membangunkan modal insan berkemahiran serta menggalakkan kerjasama strategik bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang sektor tenaga.
Katanya, komitmen itu selaras dengan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang meletakkan sektor tenaga sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi, pengembangan industri dan penciptaan peluang pekerjaan.
“Kerajaan Sabah komited untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan mampan, pertumbuhan perniagaan dan daya saing industri melalui infrastruktur yang kukuh, tadbir urus yang cekap, modal insan berkemahiran serta kerjasama strategik,” katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah Ke-13 (SOGCE 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, sektor tenaga global kini sedang melalui transformasi luar biasa yang didorong oleh peningkatan permintaan tenaga, kemajuan teknologi yang pesat, perubahan dinamik pasaran, perkembangan geopolitik serta keperluan terhadap kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata, perubahan tersebut sedang membentuk semula cara negara menghasilkan, mengagihkan dan menggunakan tenaga, sekali gus menjadikan aspek keselamatan tenaga semakin penting.
“Tenaga yang boleh dipercayai dan mampu milik kekal sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan industri dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam landskap tenaga yang semakin berubah, Dr. Joachim berkata, Sabah berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang baharu dan mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang penting kepada masa depan tenaga negara.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan dari segi sumber semula jadi yang melimpah, kedudukan geografi yang strategik serta keupayaan industri yang semakin berkembang.
“Sumber minyak dan gas Sabah terus memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan. Pada masa yang sama, kita turut meneroka peluang baharu dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi mampan bagi mewujudkan ekosistem tenaga yang lebih pelbagai dan berdaya tahan,” katanya.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa inovasi dan kemajuan teknologi akan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju industri tenaga pada masa depan.
Menurut beliau, teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, pendigitalan dan analitik lanjutan sedang mengubah operasi industri dengan meningkatkan kecekapan, memperkukuh aspek keselamatan, mengurangkan impak alam sekitar serta membuka peluang baharu sepanjang rantaian nilai tenaga.
“Keupayaan untuk mengguna pakai dan memanfaatkan teknologi ini akan menentukan tahap daya saing industri dan ekonomi pada masa hadapan.
“Justeru, Sabah perlu terus menggalakkan inovasi dan kemajuan teknologi sambil mewujudkan peluang kepada perniagaan tempatan serta bakat tempatan untuk mengambil bahagian secara bermakna dalam landskap yang sedang berkembang ini,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan ketika industri berdepan peralihan tenaga dan transformasi digital.
“Peralihan tenaga memerlukan tenaga kerja yang dilengkapi kemahiran baharu, kepakaran teknikal dan keupayaan digital. Golongan muda kita perlu bersedia bukan sahaja untuk memenuhi keperluan industri hari ini, malah menjadi peneraju industri masa depan,” katanya.
Menurut beliau, pelaburan dalam bidang pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta kerjasama antara industri dan institusi akademik amat penting dalam membentuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
“Masa depan tenaga akhirnya berkisar tentang manusia. Ia mengenai penciptaan peluang, pembangunan bakat, peningkatan taraf hidup dan memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati oleh semua,” katanya.
Dr. Joachim turut mengalu-alukan kehadiran delegasi antarabangsa, wakil diplomatik dan pemimpin industri ke SOGCE 2026, sambil menyifatkan kehadiran mereka sebagai bukti keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi ekonomi Sabah serta minat antarabangsa yang semakin kukuh terhadap sektor tenaga negeri ini.
Beliau berkata, kerjasama antarabangsa, perkongsian ilmu dan kerjasama strategik kini semakin penting dalam menangani cabaran global serta membuka peluang baharu untuk pembangunan mampan.
Persidangan selama dua hari itu menghimpunkan pembuat dasar, pelabur, pakar dan pemain industri bagi membincangkan pelbagai isu penting termasuk keselamatan tenaga, transformasi digital, kecerdasan buatan, penyahkarbonan, pengurusan karbon, integrasi tenaga boleh diperbaharui, peluang pelaburan dan pembangunan bakat.
Dr. Joachim berkata, kejayaan sebenar SOGCE tidak hanya diukur melalui perbincangan yang berlangsung sepanjang persidangan, tetapi juga melalui kerjasama yang terjalin, pelaburan yang berjaya diwujudkan, inovasi yang dibangunkan serta peluang yang dapat direalisasikan selepas program itu berakhir.
“Bersama-sama, kita mampu membina masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan, inovatif dan mampan untuk Sabah, Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Terdahulu, beliau merakamkan tahniah kepada Midas Events Management serta jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan SOGCE untuk tahun ke-13 berturut-turut.
Beliau menyifatkan persidangan itu sebagai platform utama minyak, gas dan tenaga Sabah yang menjadi pemangkin penting kepada kerjasama, inovasi dan pelaburan di negeri ini serta di peringkat serantau.
“Kerajaan Sabah menghargai inisiatif seperti SOGCE yang menyumbang secara signifikan kepada perkongsian ilmu, pembangunan perniagaan, pembangunan bakat dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.




























