PENAMPANG: Polis menahan enam lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 40 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM480 dalam beberapa serbuan berasingan menerusi Op Tapis yang dijalankan di daerah ini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dengan kerjasama BSJN IPD Kota Kinabalu itu dijalankan di beberapa lokasi sekitar Penampang pada malam 24 Jun hingga pagi 25 Jun.
Menurutnya, antara lokasi yang diserbu ialah sebuah kafe di kawasan pusat hiburan Damai 118 Plaza, Kepayan Point serta sebuah unit kondominium di Nosoob.
“Hasil operasi berjaya menahan enam lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sammy berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan cecair disyaki dadah jenis MDMBSI seberat 20.5 mililiter dengan anggaran nilai RM360.
Selain itu, polis turut merampas ganja seberat 5.41 gram yang dianggarkan bernilai RM120.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan sebanyak RM480,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati seorang daripada suspek dipercayai bertindak sebagai pembekal kepada beberapa individu lain yang turut ditahan dalam operasi berkenaan.
“Susulan maklumat yang diperoleh daripada tangkapan awal, polis berjaya menahan seorang lagi suspek bersama sejumlah kecil cecair disyaki dadah sebelum menjalankan serbuan susulan ke sebuah kondominium,” katanya.
Menurutnya, serbuan susulan itu membawa kepada penemuan ganja serta penahanan dua lagi suspek.
Sammy berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima daripada enam suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), manakala seorang lagi didapati negatif.
“Semakan rekod lampau turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya, Seksyen 6 akta yang sama kerana memiliki ganja, serta Seksyen 15(1)(a) kerana menggunakan dadah berbahaya.
Sementara itu, Sammy menegaskan polis akan terus memperhebat operasi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah Penampang.
“Fokus akan diberikan khususnya di kawasan pusat hiburan, premis perniagaan, kafe dan lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan penagih serta pengedar dadah,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran atau penyalahgunaan dadah supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara,” katanya.




























