KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) menjelaskan tindakan penguatkuasaan yang diambil dalam satu kes kebajikan haiwan baru-baru ini dilaksanakan mengikut undang-undang dan protokol penguatkuasaan sedia ada.
Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, ia memberi maklum balas terhadap kebimbangan awam susulan hantaran Facebook oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Roger Chin pada 8 Mei berhubung pengendalian kes berkenaan.
DVS Sabah berkata, semua tindakan yang diambil adalah berdasarkan aduan rasmi yang diterima di bawah Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.
“Jabatan mempunyai tanggungjawab statutori untuk menyiasat semua aduan bagi memastikan kebajikan haiwan sentiasa terpelihara,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pegawai penguat kuasa menjalankan siasatan berdasarkan maklumat dan bukti yang dikemukakan oleh pengadu serta saksi mengikut prosedur perundangan yang ditetapkan.
Katanya, pegawai veterinar tidak semestinya terlibat secara langsung dalam tindakan penguatkuasaan, namun boleh berperanan sebagai saksi pakar bagi memberikan penilaian klinikal profesional dan konteks perubatan untuk menyokong siasatan serta prosiding berkaitan.
Mengenai isu lawatan berulang oleh pegawai penguat kuasa, DVS Sabah berkata, perkara itu boleh berlaku disebabkan aduan berulang atau pelbagai aduan yang diterima dalam sistem sehingga memerlukan tindakan susulan dan pengesahan di lokasi.
Jabatan itu turut menjelaskan bahawa menjadi amalan standard penguatkuasaan untuk memaklumkan pihak yang diadukan mengenai peruntukan undang-undang berkaitan serta kemungkinan tindakan undang-undang sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
Dalam masa sama, DVS Sabah mengakui terdapat pihak yang melihat situasi itu sebagai terlalu berorientasikan penguatkuasaan, khususnya kerana ia melibatkan haiwan yang menghidap penyakit terminal.
“Dalam kes seperti ini, komunikasi yang jelas, panduan yang sesuai dan penglibatan input veterinar secara tepat pada masanya adalah elemen penting bagi memastikan pengurusan kes yang seimbang,” menurut kenyataan itu.
Berhubung isu eutanasia, DVS Sabah berkata, sebarang keputusan yang disokong oleh pengamal veterinar bertauliah dan dipersetujui oleh pemilik haiwan secara umumnya menunjukkan tindakan itu dibuat demi kepentingan terbaik haiwan berkenaan berdasarkan keadaan klinikal dan pertimbangan kebajikannya.
Jabatan itu menegaskan situasi sedemikian memerlukan pertimbangan profesional, penelitian rapi dan konteks klinikal yang sesuai, terutama apabila keputusan berkaitan kebajikan haiwan melibatkan aspek emosi dan perubatan.
Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar berkata, pihaknya memandang serius kebimbangan awam berhubung perkara itu.
“Walaupun tindakan dilaksanakan mengikut undang-undang, kami mengiktiraf kepentingan menyeimbangkan penguatkuasaan dengan komunikasi yang jelas serta input veterinar yang sesuai.
“DVS Sabah kekal komited terhadap pendekatan yang profesional, adil dan berperikemanusiaan dalam setiap kes,” katanya.
DVS Sabah turut mengalu-alukan maklum balas membina bagi menambah baik prosedur operasi standard serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.




























