Jamawi (dua dari kiri), Ruslan (dua dari kanan), Jumain (kanan), Alan (kiri) dan Jackson (tengah) memegang tomato gred A yang telah siap dibungkus untuk dijual ketika melawat Borneo Top hari ini.
TAMBUNAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pengusaha pertanian tempatan memainkan peranan penting dalam membantu Kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan dari luar negara.
Beliau berkata, Sabah memerlukan lebih ramai pengusaha pertanian yang berdaya maju bagi meningkatkan pengeluaran bekalan sayur-sayuran dan hasil pertanian tempatan untuk rakyat negeri ini.
“Namun begitu, kita juga berdepan cabaran berkaitan import hasil pertanian dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia.
“Mudah-mudahan kita dapat mencari situasi menang-menang dan pihak kementerian akan sentiasa membantu para pengusaha tempatan.

Jamawi (empat dari kanan) serta yang lain melihat ikan tilapia di Kolam Bio Flok.
“Yang penting, kita dapat mengawal selia pengeluaran dan seterusnya membantu menstabilkan harga pasaran,” katanya semasa lawatan kerja ke beberapa lokasi pertanian di daerah ini, hari ini.
Antara lokasi yang dikunjungi ialah Kolam Bio Flok Kampung Karas Maras, Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar Stesen Mahua, Borneo Top dan Kampung Linuk.
Dalam lawatan itu, Jamawi berpeluang bertemu pengusaha ternakan ikan, Barry Ronald yang telah mengusahakan ternakan ikan tilapia merah, tilapia hitam dan ikan keli Afrika sejak dua tahun lalu.
Beliau turut melawat syarikat Borneo Top milik Alan See yang mengusahakan tanaman hidroponik dan fertigasi melibatkan tomato, salad, timun serta cili untuk dipasarkan di sekitar Kota Kinabalu, Sarawak dan Brunei.

Jamawi (kanan) melawat ladang penanaman nenas Kampung Libang Ulu.
Jamawi turut menyarankan agar sebuah persatuan ditubuhkan bagi mengumpul data penanaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk menilai keperluan import makanan dari luar negara.
Katanya, langkah itu membolehkan Kerajaan mengetahui kapasiti sebenar pengeluaran petani dan pengusaha tempatan sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan terhadap import.
“Jadi kita akan berbincang dengan Jabatan Pertanian supaya kita tahu berapa kapasiti pengeluaran para petani dan pengusaha lain. Dengan itu, kita boleh mengurangkan import dari luar,” katanya.
Beliau turut meminta pegawai pertanian turun padang bertemu para pengusaha bagi membantu mereka mendaftar dalam aplikasi Kebun Dapur yang akan diperkenalkan kementerian itu.
Dalam pada itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Alan kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sejak penubuhan Borneo Top di Kampung Tiang.
Beliau juga mengadakan lawatan ke Kampung Libang Ulu yang mempunyai kawasan tanaman nanas seluas kira-kira 400 ekar.
Jamawi memuji penglibatan golongan muda berusia antara 19 hingga 30-an yang aktif menceburi sektor pertanian di kawasan berkenaan.
Jamawi juga berkesempatan beramah mesra dengan penduduk kampung dan menyampaikan pemenang Penanam Nenas terbaik di kampung itu.
Turut hadir, Pembantu Menteri I, Datuk Haji Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jumain Abdul Ghani; Timbalan Pengarah Pertanian Sabah, Jackson R. Jaimi; Pegawai Daerah Tambunan, Mohd Azri Jaini Jeffrey serta pegawai kementerian.






























