Azizah Mohd. Dun
KENINGAU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) (Sabah), Datuk Seri Azizah Mohd. Dun menegaskan pemimpin wanita di Sabah perlu memiliki ilmu pengetahuan, maklumat tepat serta hubungan erat dengan komuniti bagi memastikan mereka mampu memimpin dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, tiga elemen itu menjadi asas penting dalam melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa dan diyakini masyarakat.
“Sebagai pemimpin, kita mesti sentiasa menambah ilmu pengetahuan dan tidak pernah berasa cukup dengan apa yang dimiliki.
“Pemimpin yang berilmu akan lebih berwibawa serta mampu memimpin dengan lebih berkesan,” katanya pada Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah Siri 2 di sini kelmarin. Ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah IDS (Sabah) dan Ahli Jawatankuasa Inisiatif Kepimpinan Wanita (WLIC), Lailawati Bahrom.
Azizah berkata, pemimpin wanita juga perlu mempunyai maklumat yang tepat dan sahih supaya setiap keputusan yang dibuat dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, hubungan baik bersama komuniti amat penting terutama bagi pemimpin akar umbi kerana hubungan yang mesra dan rapat mampu membina kepercayaan serta sokongan masyarakat.
Beliau berkata, bengkel anjuran IDS (Sabah) menerusi WLIC itu merupakan platform penting dalam usaha memperkasa lebih ramai pemimpin wanita di negeri ini.
Azizah turut merakamkan penghargaan kepada Salmah Sait serta seluruh Jawatankuasa Pelaksana atas usaha menjayakan program berkenaan.
Katanya, bengkel itu adalah kesinambungan program yang sebelum ini diadakan di Kota Kinabalu pada 25 April lalu melibatkan peserta dari Parlimen Putatan, Penampang, Sepanggar dan Kota Kinabalu.
Menurut beliau, program berkenaan bertujuan mempersiapkan pemimpin wanita di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen agar lebih bersedia serta berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Dalam program itu, peserta turut didedahkan dengan pelbagai perkongsian ilmu oleh Perunding Latihan Kanan M13 dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sabah, Josliw Matjumping serta Zainald Zainuddin dari IDS (Sabah).
Azizah berharap segala ilmu dan pengalaman yang dikongsikan sepanjang bengkel itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta dalam memperkukuhkan peranan masing-masing sebagai pemimpin wanita di peringkat komuniti.
Beliau turut merakamkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa WLIC IDS (Sabah) atas kejayaan menganjurkan bengkel yang disifatkan amat bermanfaat dalam usaha memperkasakan kepimpinan wanita di Sabah.






























