Para pemenang pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Kecil Matunggong.
MATUNGGONG: Rakyat Sabah diseru agar terus menghargai keharmonian dan perpaduan yang dinikmati selama ini kerana tidak semua negara berbilang kaum mampu mengekalkan keadaan sedemikian.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang juga ADUN Matunggong, Datuk Julita Majungki berkata, masyarakat Sabah mempunyai keistimewaan tersendiri kerana rakyatnya hidup dalam suasana saling menghormati walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama.
“Kita di Sabah biasanya memandang orang sebagai orang, sebagai saudara, bukan melihat kepada bangsanya. Itulah kelebihan kita yang perlu kita jaga,” katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Matunggong di sini kelmarin.
Julita berkata, rakyat tidak boleh memandang ringan nilai perpaduan kerana terdapat negara lain yang pernah mengalami konflik dan pergolakan akibat perpecahan dalam masyarakat.
“Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi di Sabah hari ini perlu terus dipelihara supaya negeri ini kekal stabil dan mampu berkembang dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata, keharmonian dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat juga memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kalau masyarakat kita terus bersatu dan hidup dalam keadaan harmoni, negeri juga akan kekal stabil dari segi politik. Bila keadaan stabil, kerajaan dapat memberi tumpuan kepada pembangunan dan keperluan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pesta Kaamatan merupakan antara contoh terbaik bagaimana rakyat Sabah mampu meraikan kepelbagaian budaya dalam suasana aman dan harmoni.
Katanya, tema Kaamatan tahun ini, “Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian”, amat bertepatan dengan identiti masyarakat Sabah yang hidup dalam keadaan saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
“Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi juga lambang perpaduan masyarakat Sabah yang hidup bersama dalam keadaan aman dan saling menghargai,” katanya.
Dalam pada itu, Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Daerah Kecil Matunggong 2026 menyaksikan Crizzelbellkah Lorris dinobatkan sebagai johan, diikuti Wiwielian Phang sebagai naib johan, manakala Ellyzzie Casey Epson meraih tempat ketiga.






























