Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di atas bumbung sebuah restoran di Sepanggar Seafood Village Restaurant, Karambunai, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.16 petang menerusi talian MERS999.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 33 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.50 petang dan mendapati terdapat seorang mangsa lelaki dilaporkan terkena renjatan elektrik di atas bumbung bangunan.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menurunkan mangsa menggunakan pengusung (stretcher),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.06 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.
Operasi diketuai PBK I Christy Foo manakala turut berada di lokasi ialah anggota KKM dan PDRM.






























